in

Rumah Agam

Alan seperti biasa, bersiar siar mengambil angin sebelum terus pulang ke rumah setelah penat bermain bola sepak di padang. Sengaja dia membawa motor dengan perlahan agar angin petang dapat menghilangkan peluhnya. Sambil sambil itu, dia bersiul girang.

Di simpang empat, Alan terlihat seorang budak lelaki tersungkur daripada basikal kecil. Budak itu menangis teresak esak. Alan yang sudah hampir dengan kanak kanak itu memberhentikan vespanya.

“Adik okay tak adik?”

Budak itu masih menangis. Alan dapat melihat darah mengalir daripada lutut budak kecil itu.

“Cemana boleh jatuh ni dik? Aduhai kesian.”

Alan membantu budak itu berdiri. Budak itu masih menangis.

“Dah dik dah, adik nak balik rumah tak? Diam, jangan nangis lagi. Abang tinggal kat sini kang.” tegas Alan. Budak itu berhenti menangis walaupun masih ada esakan.

“Rumah adik kat mana?” tanya Alan.

Budak lelaki itu hanya menunjuk ke arah simpang tiga hadapan tidak jauh daripada situ.

“Okay, jom naik.”

Alan meletakkan basikal kecil itu dipangkuannya di atas motor. Basikal itu ringan, tidak menjadi masalah dipangku sebegitu. Mereka mula bergerak. Di simpang tiga, Alan menyoal,

“Mana satu dik rumah? Besar besar rumah sini.”

Budak itu menunjuk ke arah sebuah rumah agam lengkap dengan taman di halaman mengunjur ke kawasan belakang. “Wah!” Alan jadi kagum.

“Dah sampai. Turun dik.” kata Alan apabila sudah sampai di depan rumah itu.

Baru Alan hendak bergerak, emak si budak keluar memanggilnya.

“Masuk dululah nak. Minum minum.”

“Takpelah cik. Saya nak balik ni.”

Tiba tiba seorang pakcik menepuk bahunya. “Eh masuklah dulu. Anak dah hantar anak pakcik, lagipon nak maghrib, tak elok merayau.”

Alan serba salah. Tapi betul kata pakcik itu, maghrib tak elok merayau.

“Okaylah cik.”

Alan menongkat vespanya lalu mengikut masuk ke rumah. Alan kagum sungguh. Rumah itu besar sekali. Setiap hiasannya nampak mewah benar. Berkilau matanya.

“Anak duduk mana?” tanya makcik itu.

“Dekat dengan masjid kubah hijau tu makcik.” jawab Alan.

Dua orang gadis keluar daripada dapur membawa sedulang air. “Minum bang.” Alan senyum. Manis betul budak budak ni, desis hatinya.

“Mandi mandilah dulu kat sini. Nampak macam berpeluh semacam je anak ni.” kata makcik itu.

Alan senyum saja. Selepas seteguk dua, Alan sudah tak tau nak buat apa. Air sudah diminum, hendak main henfon bateri sudah habis. Dia mati akal. Mak bapak budak kecil itu sedari tadi memandangnya saja, tidak berganjak. Masing masing dengan senyuman yang tidak putus putus. Alan hairan. Alan jadi tidak selesa, lalu dia meminta diri. Makcik itu ketawa perlahan diikuti pakcik beruban itu.

“Mau pulang ye nak? Mana boleh.” garau suara pakcik itu diselangi dengan hembusan nafas kasar. Alan makin pelik.

“Kenapa?”

“Dah datang sini mana boleh balik nak.” Alan menelan liur.

Dia jadi cuak. Cara percakapan mereka berubah garau dan sinis. Alan segera menuju ke pintu. Namun pintu tiada di situ, seakan akan lenyap. Dia tidak keruan, melilau dia mencari pintu tetapi tidak ditemui. Keluarga misteri itu ketawa terkekek di belakang. Hilai tawa mereka berpanjangan dan mendayu dayu. Ketika Alan bergerak ke tingkap, makcik itu mendekati Alan. Alan jadi kaku.

“Anak takut ke? Tadi masuk elok je nak, takkan sekarang takut?”

Makcik itu berubah wajah. Rupanya buruk. Mulutnya kopak, matanya terbelalak. Taringnya tersembul. Darah dan nanah memenuhi wajah itu. “Tak boleh keluar!” makcik itu menyeringai. Alan langsung tidak berganjak. Akalnya mati tidak tahu buat apa. Pergerakannya kejung. Tiba tiba

“Abang nak balik dah ke?” budak kecil tadi muncul di belakangnya.

Dia berkulit pucat, bermata bulat terkeluar dengan liur meleleh. Budak kecil itu memeluk kaki Alan. Alan cuba menolak, namun tidak boleh.

“Abang ni baik, abang tolong saya. Lepaskan dia mak.”

Makcik itu mendengus kasar. Perlahan lahan dia mengundur ke belakang. Dia senyum dengan rupa buruk. Alan hanya mampu melihat. “Pergi!” jerit makcik itu. Alan tersentak. Dia terduduk. Jeritan itu membingitkan. Lalu dia pengsan.

Entah bila, Alan sedar daripada pengsan, dia sudah berada di dalam biliknya. Ibunya berada di sampingnya sedang mengelap dahinya dengan kain basah.

“Urghh, macam mana Alan balik mak?” tanya Alan.

Ibunya mengeluh.

“Kau pergi mana Alan? Nasib baik mak cari, kawan kau Razip yang jumpa kau kat tepi simpang kubur tu.”

Alan diam. Dia tidak mau menjawab apa.

Alan mengangguk. “Baik mak.” Ibunya bangkit menuju ke pintu lalu meninggalkannya sendirian. Alan menelentang menghadap siling. Tiba tiba bahunya dicuit. Alan menoleh.

“Terima kasih bang.”

Budak kecik dengan mata tersembul tadi, dengan bermuka pucat biru menegurnya sambil mengilai di sebelahnya. Alan pengsan lagi.

Perkongsian Daripada Unknown.

What do you think?

Written by ERRA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Pengalaman Seram Di Sekolahku

Puaka