in

Puaka Kebun Sawit

Assalamualaikum. Di sini aku nak ceritakan sebuah kisah seram yang berlaku pada aku tahun lalu (2019). Nama aku Iji (Bukan Nama Sebenar), Aku berumur 19 tahun pada kejadian itu berlaku, dan aku sedang bekerja sebagai tukang bancuh air di sebuah kedai tomyam lebih kurang 2km dari rumah aku. Aku tinggal di rumah flat, tapi aku ni jenis betul-betul jarang duduk dan tidur di rumah. Aku tinggal dengan mak, ayah, seorang adik lelaki dan seorang abang. Keluarga aku pun dah biasa dengan perangai aku yang “kutu rayau” ni. So, mak ayah aku tak lah risau sangat kalau aku tak balik berhari-hari pun. Diorang tahu aku akan pergi tidur di rumah ayah angkat aku, lebih kurang 4km dari rumah aku.

Aku akan mulakan cerita aku sekarang, aku kerja di kedai tomyam tu bermula dari pukul 6:00ptg – 3:30pg. Setiap hari siap-siap kemas semuanya di kedai, bolehlah tutup kedai lebih kurang pukul 4:00pg. Macam biasa, aku akan terus pergi ke rumah ayah angkat aku di kawasan yang agak pedalaman. Perlu melalui beberapa buah rumah dan kebun kelapa sawit sebelum sampai ke rumah ayah angkat aku tu. Aku ni naik motor, jadi kena kacau semasa aku melalui di kebun kelapa sawit perkara biasa. Seperti suara-suara yang memanggil aku, bayangan melintas di hadapan dan belakang motosikal aku. Tapi, aku cuba kuatkan diri jugak, acah-acah “steady”. Padahal dalam jantung aku rasa macam nak tercabut.

Setiap hari aku jalani hari-hari yang biasa, pergi kerja dan balik kerja terus ke rumah ayah angkat aku. Tetapi, kejadian yang “EXTREME” telah berlaku pada diri aku dan aku takkan dapat lupakan perkara itu sampai bila-bila. Pada suatu hari, bila aku balik dan terus pergi ke rumah ayah angkat aku. Saat aku melalui kebun kelapa sawit tu, tiba-tiba aku terdengar jeritan seseorang yang meminta-minta tolong seakan-akan sedang berada dalam keadaan yang amat sakit, “Tolongg !! Aduhhh ! Tolonglahh ! Aduhh”.

Aku tak pasti, suara itu milik suara lelaki ataupun perempuan sebab dia menjerit sambil menangis. Kau dapat bayangkan tak perasaan aku masatu ? Nak pengsan aku waktu tu, tapi aku tetap kuat. Sebab aku tak pernah kena kacau macamni, so aku anggap itu suara orang yang sedang meminta tolong. Aku kuatkan diri, terus berhentikan motosikal aku dan cuba berfikiran positif, aku cakap dalam hati, “Itu orang kot, itu orang, itu orang”. Sambil aku perlahan-lahan turun dari motosikal aku dan menjerit memanggil, “Sapa tu ? Kenapa ? Assalamualaikum ?”

Dia tidak menjawab mahupun menyahut panggilan aku, bahkan dia menjerit meminta tolong lagi kuat dari yang sebelumnya, “TOLONGLAH AKU ! ADUHH ! WEHH TOLONG CEPATLAH!”
Aku pun apa lagi, tanpa fikir panjang terus pergi ke arah suara jeritan tu sambil menyalakan lampu “flash” telefon aku. Tahu tak korang apa yang aku nampak ?

Seorang lelaki tanpa kaki sedang meronta-ronta kesakitan sebab tertusuk parang di dadanya. Aku dah mula panik, jantung aku berdegup dengan amat cepat. Aku cuba nak lari, tetapi kaki aku seakan-akan melekat di tanah seperti aku sedang menggalas benda yang amat berat. Rasa nak pengsan dan tercungap-cungap aku, sehinggakan makhluk itu boleh terdengar desakan nafas yang kuat aku. Tiba-tiba sahaja makhluk itu berhenti menjerit dan berteriak. Perlahan-lahan makhluk itu menoleh ke arah aku, mukanya yang pecah-pecah, penuh darah kedua-dua matanya terbeliak putih melihat aku. Nafas aku seakan-akan terhenti, nak lari pun tak mampu. Makhluk itu merangkak laju ke arah aku dengan parang yang tertusuk di dadanya tu memancut-mancut darah.

Penglihatan aku menjadi gelap, aku menjerit suaraku tak kedengaran, menangis pun sudah tak bersuara. Pada paginya lebih kurang pukul 8:00 pagi ayah angkat aku jumpa aku sedang tidur di sebelah pokok kelapa sawit dengan nyenyaknya. Dengan motor aku tertinggal kunci, nasib baik tak ada orang curi. Ayah angkat aku kejutkan aku dan bawa aku balik ke rumah, badan aku terasa amat sakit dan lengah. Selepas sampai di rumah, aku ceritakan kisah yang terjadi pada aku pagi tadi, semasa perjalanan aku nak datang situ pada keluarga angkat aku.

Ayah angkat aku tersentak mendengar cerita aku, dia pun cerita dekat aku bahawa dia pun pernah ternampak seorang lelaki tanpa kaki sedang memanjat pokok kelapa sawit pada beberapa hari yang lalu waktu tengah malam. Ayah angkat aku terus panggilkan ustaz datang ke rumah untuk ubatkan aku dan pagar keliling rumah. Takut-takut, makhluk-makhluk halus itu menganggu keluarga angkat aku. Selepas hari itu, aku dah tak nampak makhluk tak berkaki tu setiap kali aku melalui kebun kelapa sawit tu. Alhamdulillah bersyukur. Cuma kena ganggu sikit-sikit tu ada-lah. Baiklah ini perkongsian dari kisah benar yang berlaku pada diri aku sendiri, mungkin korang semua pun pernah melalui perkara sama seperti aku. Assalamualaikum.

Perkongsian daripada Iji.

What do you think?

Written by Maya

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Kisah Seram Semasa Mengikuti MODEL Di SABAH

Diekori