in ,

Pengalaman Seorang Jururawat

Saya akan kongsikan pengalaman seram yang pernah berlaku terhadap diri saya sendiri. Peristiwa ini sudah berlaku agak lama dan terjadi di salah sebuah hospital swasta di ibu kota.  

Masa itu, saya berada di wad hospital selepas melahirkan anak.  Disebabkan saya mengalami pendarahan yang agak banyak, bayi saya ditempatkan di wad yang berasingan. Jadi apabila tiba waktu malam saya selalu mengambil peluang untuk keluar berjalan-jalan atau ke wad bayi untuk melihat keadaannya.

Dalam pada itu, kadang-kala saya melihat ramai juga ibu-ibu lain yang keluar ke lobi atau ke arah wad bayi pada waktu malam begitu walaupun keadaan ketika itu agak sunyi. Sehinggalah pada satu hari, seorang ‘sister’ telah menegur saya dan menasihatkan saya agar jangan selalu keluar dari wad apatah lagi pada waktu tengah malam. 

Saya pun pelik kenapa saya dilarang keluar sebab saya selalu saja nampak ramai orang yang berlegar-legar di luar wad  setiap kali saya ke kawasan wad bayi lalu bertanya kenapa kepada ‘sister’ tersebut. 

Sambil menghela nafas panjang,  beliau memberitahu kadang-kala apa yang kita lihat itu, bukan apa sebenarnya seperti yang kita fikirkan.  Sambil itu dia memberitahu saya bahawa, sebenarnya di tingkat yang saya duduk sekarang ini cuma tinggal beberapa orang pesakit saja dan kebanyakkannya terpaksa menjalani pembedahan dan tidak mungkin mereka akan keluar berjalan-jalan dari wad mereka seperti yang saya katakan.

Mendengar penerangan ‘sister’ itu serta-merta peluh dingin saya merembes keluar.  Saya rasa seram sejuk. ‘Sister’ tersebut terus bercerita bahawa sebelum ini ada juga perkara-perkara ganjil yang pernah dialami oleh beliau sendiri. 

Contohnya, ada satu hari itu beliau ingin ke tandas dan meminta salah seorang jururawat di situ mengambil alih untuk memantau tugas beliau sebentar.  Tetapi alangkah terkejutnya beliau apabila tiba saja di tandas dia ternampak jururawat tersebut berada betul-betul di hadapan pintu salah sebuah tandas. 

Beliau terus bertanyakan jururawat itu apa yang dibuatnya di situ.  Tetapi dia diam sahaja dan langsung tidak menjawab, dengan matanya yang seakan-akan merah dan merengus terus menuju masuk ke dalam salah sebuah tandas di situ.  Tiba-tiba ‘sister’ tersebut seakan terdengar suara seperti orang sedang menghisap sesuatu dari dalam tandas tersebut. 

Rasa tidak sedap hati, beliau terus berlari keluar dan sekali lagi beliau terperanjat apabila melihat jururawat tadi berada di kaunter dan sedang berbual dengan seorang jururawat yang lain.

Sampai sahaja di kaunter, ‘sister’ tersebut terus memarahi jururawat berkenaan kerana tidak mengikut arahan beliau.  Yang anehnya, jururawat itu berkata dia tidak ke mana-mana dan hanya duduk di situ sambil berbual  sementara menanti  ‘sister’ itu ke tandas sebentar. 

Jadi siapakah atau apakah sebenarnya yang ditemui oleh ‘sister’ itu sewaktu di tandas tadi? Oleh kerana itu, beliau menasihatkan saya agar duduk saja di dalam wad dan kalau perlukan apa-apa panggil saja jururawat yang bertugas. Saya terus terdiam seribu bahasa mendengar cerita beliau. Malam itu saya tidak dapat melelapkan mata dan tidur dalam keadaan lampu terpasang sehingga ke pagi. Rasa takut itu datang secara tiba-tiba walaupun sebelum itu saya tidak punya perasaan sebegitu. Semenjak daripada itu saya tidak lagi keluar pada waktu tengah-tengah malam dari wad saya mahupun pergi ke wad bayi untuk melihat anak saya pada waktu tengah malam hinggalah saya keluar dari hospital beberapa hari kemudian.  Teringat pula cerita seorang lagi jururawat yang bertugas, kalau  adanya kematian di situ, pintu pagar yang menghala ke bilik mayat akan terbuka dengan sendirinya tepat jam 12.00 tengah malam. Jika pintu pagar itu terbuka, itu menandakan bahawa ada orang yang akan meninggal pada hari itu. Wallahua’lam.

3 Kali Pusing pun ke bilik mayat juga

Saya nak kongsi kejadian yang berlaku pada saya ketika bermalam di PJHUS pada Selasa lalu. Masa itu jam 11.30 malam, kawan-kawan ayah saya datang nak melawatnya tetapi tidak dapat masuk sebab waktu melawat sudah tamat. Jadi, ayah suruh saya turun menemui mereka.

Saya pun turun dan bawa buku yasin, simpan dalam kocek baju Melayu. Tak tahu kenapa tiba-tiba bawa buku yasin. Tangan automatik nak bawa.

Turunlah saya dari tingkat lima ke tingkat 2, menggunakan lif. Masa masuk ke lif, tak sedar yang saya tertekan butang lif nombor 1. Ingatkan tekan butang nombor 2 pada masa itu. Tetapi saya memang yakin yang saya tekan butang nombor dua.

Bila tiba di tingkat 1, lampu dalam lif berkelip-kelip sebanyak tiga kali dan setelah 10 saat, barulah pintu lif terbuka. Biasanya 2 atau 3 saat, pintu dah terbuka. Hairanlah sekejap, lalu keluar dari lif tanpa menyedari berada di tingkat 1.

Jalan lurus ke depan sambil bermain handphone. Jalan punya jalan, tengok-tengok jalan di depan rupa-rupanya jalan mati. Ketika itu barulah tersedar bukan berada di tingkat 2. Bila toleh ke kiri, bilik kosong. Toleh ke kanan, jalan nak pergi ke bilik mayat. Ya, bilik mayat. Hairanlah pula, macam mana boleh sampai ke sini?

Saya patah balik dan cari lif. Jalan lurus saja tetapi tak jumpa lif. Lif tiba-tiba hilang.

08b0Image via scaryforkids.com

Bilik itu ada dua pintu, ada dua cermin kecil di pintu dan cermin panjang ditutup dengan langsir biru. Tak tahulah kalau bilik-bilik ini wujud di PJHUS.

Jalan lagi lurus sampai ke hujung, saya cuma nampak ada padang kosong. Mana perginya parking di bawah bahagian belakang? Saya mula gelisah.

Dalam fikiran nak guna tangga kecemasan. Bila nak buka pintu, terdengar ada orang turun. Saya tunggu sampai dia buka pintu. Tetapi lain pula yang berlaku. Sebaik habis saja bunyi orang itu turun, saya terdengar bunyi pintu dicakar. Terus saya jalan tanpa menoleh ke belakang. Sudahlah masa itu sunyi, tak ada orang langsung.

Tiba-tiba ternampak benda hitam melintas dengan laju. Saya pergi ke tempat itu dan bila sampai, rupanya muncul ke tempat masa saya mula-mula sedar saya berada di tempat lain. Saya jalan lagi mencari lif, sempat hantar mesej pada ayah yang saya sedang diuji. Selepas hantar mesej, handphone terus stuck dan tak dapat buat apa-apa.

Tiba-tiba rasa sejuk di belakang badan dan meremang bulu roma. Bila toleh ke belakang, tiada apa-apa. Rasa macam ada seangkatan tentera berjalan mengejar saya dari belakang. Saya tanggalkan cermin mata yang sudah dipenuhi kabus. Tengok ke belakang, tiada apa-apa. Toleh ke depan, tertera ‘Bilik Mayat’. Macam mana boleh sampai ke sini? Yang dielak, itu juga yang dituju.

Semakin gelisah saya dibuatnya. Saya takut tak jumpa jalan keluar. Kemudian terdengar seperti ada orang yang sedang menguruskan mayat. Saya ingatkan nak tegur, tetapi teringat orang tua-tua dulu pernah kata, kalau terdengar bunyi-bunyi pelik, jangan ditegur. Jadi saya tak jadi nak tegur.

Fd3eImage via netdna-cdn.com

Kalau cerita tentang bau, memang bau gila. Rasa nak muntah pun ada juga. Sudahlah di area bilik mayat gelap gelita. Saya kuatkan semangat dan teruskan perjalanan mencari lif. Semakin kuat semangat, semakin banyak pula dugaan yang dilalui.

Saya lalu sebuah bilik ini, kain langsirnya seperti ditiup angin. Saya pun jenguk, kot-kot ada orang ke tetapi tiada apa-apa. Cuma kelihatan kerusi menunggu dan alat-alatan hospital sahaja. Kemudian terdengar pula bunyi guli terjatuh. Rasa nak masuk dalam bilik, tetapi saya tak tahu apa yang akan terjadi di dalamnya nanti.

Saya terus jalan mencari lif. Dalam perjalanan itu, ada tangga di tepi. Dari pandangan sisi mata, ternampak sesuatu berwarna putih berdiri di situ, kelihatan seperti jururawat bertudung. Tapi saya tak menoleh pada dia dan terus berjalan ke depan.

Bila tengok ke luar bangunan, tiada lampu. Ah sudah. Pergi ke depan, terdengar ada orang baling selipar ke arah pintu dan suara wanita mengerang seperti orang gila. Lalu saya berhenti sekejap, dalam hati tertanya-tanya, “ini hospital jantung ke, hospital orang gila?” Bilik jenguk melalui cermin pintu, tiada apa-apa, orang pun tak ada. Cuma ada kaunter dan sebaris kerusi biru.

Saya teruskan perjalanan mencari lif. Dah lepas satu pintu, terdengar pula orang berlari atau merangkak laju seperti nak menyerang saya dari belakang. Saya toleh semua arah, tiada apa-apa. Saya pusing ke kiri, rupanya saya kembali semula ke tempat saya asal.

Rasanya dah 4 atau lima kali saya lalu bilik mayat. Hati mula gelisah, rasa dah sejam mencari lif. Saya berhenti seketika, tengok handphone masih stuck. Saya beristighfar, tenangkan diri dan cuba baca ayat kursi. Malangnya tak ingat apa-apa. Al-fatihah pun boleh jadi tak ingat pada waktu itu.

Seketika kemudian baru teringat ada bawa buku yasin. Saya buka dan baca ayat kursi, tiga Qul dan Al-fatihah. Mujur dapat baca. Selepas baca, saya hembus nafas dan sapu di bahagian muka. Kemudian telinga kiri terasa ditiup angin yang laju. Seperti ada orang berdiri di belakang, betul-betul di belakang saya. Rasa nak toleh tetapi saya kuatkan hati tak nak toleh dan teruskan perjalanan.

Saya lalu lagi tangga kecemasan, kira nak gunakan tetapi teringat ada benda putih berdiri dan bunyi pintu dicakar, lalu terbatal niat itu. Saya jalan lagi, Alhamdulillah saya jumpa juga lif akhirnya. Lega dan hilang rasa gelisah.

Masa nak masuk lif, dari sisi mata ternampak ada sesuatu yang berdiri merenung tepat ke arah saya. Rupa dia seperti jururawat yang saya nampak di tangga tadi.

Naik ke tingkat dua, barulah terjumpa orang, kakitangan hospital dan pengawal keselamatan. Akhirnya bertemu juga dengan kawan-kawan ayah. Handphone pun dah okay. Bila tengok jam, rupanya baru 5 atau 6 minit saya berada di tingkat 1 tetapi saya rasa macam sudah sejam mencari lif di tingkat itu. Yelah, pengalaman pertama bila pandangan saya ditutup. Memang gelisah, takut tak dapat keluar.

Rupa-rupanya ada hikmah kenapa saya tiba-tiba tergerak hati nak bawa buku yasin walaupun saya tidak tahu kenapa.

Nasihat saya untuk siapa-siapa yang bermalam di PJHUS atau mana-mana hospital, bawalah surah yasin atau Al-Quran bersama. Takut nanti tak ingat apa-apa atau bimbang yasin atau Al-Quran di dalam handphone tidak dapat dibuka. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi, lebih-lebih lagi di tempat yang memang ‘keras gila’.

Pakailah pakaian yang sopan, mulu dan hati kena jaga, jangan sebut perkataaan sebarangan. Kalau terpaksa nak pergi ke mana-mana, biarlah berteman. Kalau boleh, jangan merayau selepas jam 11 malam.

Saya tak kata yang saya jenis berani, ada juga perasaan takut tetapi mereka juga makhluk Allah S.W.T. Kalau terjadi apa-apa seperti ini, jangan dibawa sangat perasaan takut itu. Berdoa dan minta pertolongan dari Allah agar dijauhkan dari gangguan seperti ini. InshaAllah, Allah akan tolong. Hanya Allah tempat kita meminta pertolongan. Terima kasih kerana sudi baca pengalaman pertama saya ini.

What do you think?

Written by admin

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Kawan Masa Kecil

Koridor Hostel Berhantu