in

Pengalaman Pemandu Van

Apabila menyebut mengenai rumah mayat dan kereta jenazah, pastinya akan membayangkan pelbagai bentuk rupa mayat mengerikan serta kejadian mistik yang berlaku.

Lebih mengerikan apabila mayat itu terpaksa dihantar ratusan kilometer jauhnya pada waktu malam sebelum dimandi dan dikapankan oleh waris terlibat.

Ada yang menyifatkan pemandu van jenazah menyimpan pelbagai rahsia mayat ketika dalam perjalanan ke destinasi dituju.

Bagi sesetengah pemandu van jenazah yang ditemui Sinar Harian menyatakan mereka pernah mendengar suara tangisan teresak-esak di bahagian belakang kenderaan berkenaan di mana mayat diletakkan.

Selain itu bau hanyir darah dari mayat merupakan bau yang sering ‘menemani’ mereka sepanjang jalan.

Antara laluan yang paling digeruni oleh kebanyakan pemandu van jenazah adalah apabila melalui Gerik ke Jeli di Kelantan di mana sepanjang jalan tidak mempunyai lampu dan berkeadaan terlalu gelap serta sunyi.

Selain itu, keadaan jalan yang bengkang bengkok membuatkan mereka terpaksa memandu lebih berhati-hati dan perlahan untuk memastikan mayat tidak bergoyang walaupun sudah diikat.

Pemandu van jenazah dari Masjid Al-Jamiul Makmur, Abu Bakar Hussein berkata, sepanjang 11 tahun menjadi pemandu van jenazah, dia belum pernah melalui sebarang kejadian mistik walaupun memulakan perjalanan untuk menghantar jenazah kira-kira jam 12.30 pagi.

Dia juga akui jalan dari Gerik ke Jeli di Kelantan merupakan laluan yang menyeramkan.

Katanya, kebanyakan mayat dihantar di luar kawasan Kulim tidak akan dimandi atau dikapankan.

Menurutnya, ia hanya akan dibuat setelah mayat itu sampai ke destinasinya.

Abu Bakar berkata, sehingga kini, dia telah menghantar jenazah ke seluruh pelosok kampung di semenanjung Malaysia dan berpendapat kejadian mistik hanya berlaku sekiranya mereka kurang yakin terhadap kekuasaan Allah SWT.

“Saya telah memandu van jenazah sejak 11 tahun lalu dan telah menjelajah ke seluruh Malaysia. Syukur sepanjang tempoh itu saya belum pernah diganggu oleh apa sahaja godaan dari iblis dan syaitan. Kita harus memandu dengan perlahan dan menghormati jenazah yang kita bawa. Kebiasaannya saya akan memulakan perjalanan apabila tengah malam.

“Ini adalah untuk mengelakkan dari kesesakan jalan raya selain keadaan cuaca yang sejuk. Ketika membawa jenazah, saya tidak akan memasang penyaman udara dalam kenderaan kerana ini akan mengakibatkan bau hanyir darah. Saya hanya akan memasang penyaman udara apabila hujan sahaja. Selain itu saya turut mengelakkan waris jenazah untuk menemani si mati sepanjang perjalanan,” katanya.

Menurutnya, rasa seram memang ada ketika memandu tetapi apa yang dilakukan dianggap sebagai satu ibadah.

Dia hanya akan berhenti van jenazahnya hanya untuk bersolat dan isi minyak sahaja.

Sehingga kini katanya, van Ford Spectron yang berusia hampir 25 tahun itu tidak pernah mengalami sebarang kerosakan sepanjang dia menghantar jenazah.

Katanya, sepanjang perjalanan jauh ataupun dekat, dia akan ditemani dengan bau mayat tetapi semua ini tidak melunturkan semangatnya untuk menjalankan tugas.

Menurutnya, petua yang sering digunakan sebelum memulakan perjalanan adalah dengan membaca doa naik kenderaan supaya Allah melindunginya sepanjang perjalanan pergi dan balik.

“Saya pernah membawa jenazah seorang perempuan mati dibunuh. Walaupun terpaksa menghantar jenazah itu jauh tetapi saya tetap menjalankan tugas yang diamanahkan. Namun tidak ada sebarang kejadian aneh berlaku. Kita jangan ingat macam-macam. Semuanya datang dari Allah kerana membawa jenazah juga satu ibadah,” katanya.

Mungkin ada segelintir daripada kita, apabila melihat van jenazah ini sudah pasti dianggap menyeramkan. Apatah lagi jika seseorang itu bekerja sebagai pemandu van jenazah.Dari mata kasar, kerjaya sebagai seorang pemandu van jenazah tidaklah membebankan.

Memang benar. kerana mereka hanya perlu menghantar dan membawa jenazah sahaja. Bagaimanapun, tiada siapa tahu perkara yang tersirat serta dugaan yang perlu di tempuh.

Cabaran dari segi mental dan fizikal juga tidak kurang hebatnya. Apatah lagi, sesetengah perkara yang berlaku semasa menjalankan tugas, tidak boleh diterima akal. Jom kita ikuti kisah seorang pemandu van jenazah yang mempunyai banyak pengalaman.

Kerjaya sebagai seorang pemandu van jenazah, memerlukan keberanian dan kecekalan hati yang tinggi.

Ini diakui sendiri Ismail Hashim, 49, dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar yang mengalami pelbagai suka duka sebagai pemandu van jenazah sepanjang 25 tahun berkhidmat di bahagian itu sejak 1991 di Hospital Besar Pulau Pinang.

Waris Lari

Peristiwa pertama yang masih terpahat dalam ingatannya apabila, beliau menerima arahan untuk menghantar jenazah seorang lelaki berumur 90 tahun ke Padang Sanai, Padang Terap diiringi dua waris jenazah pada jam 3 pagi.

Kedua waris tersebut, duduk di bahagian belakang van sambil membaca ayat suci Al-Quran, sehinggalah satu kejadian di mana van itu berhenti secara tiba-tiba. Beberapa kali Ismail cuba untuk menghidupkan kembali enjin tersebut, namun percubaannya itu gagal. Kemudian, beliau turun dan pergi ke belakang van dan mendapati bahawa kedua-dua waris tersebut telah menghilangkan diri.

“Pada masa itu, suasana begitu sunyi dan tidak ada kenderaan yang melalui jalan itu. Saya masuk semula ke dalam van dan beberapa minit kemudian hadapan cermin van dipenuhi dengan belalang serta beberapa ekor kala jengking.

Oleh kerana bimbang dengan keselamatan, saya menutup pintu dan hanya membaca ayat Kursi sahaja sehinggalah kedengaran azan barulah haiwan itu hilang secara tiba-tiba. Kemudian barulah waris jenazah itu turut datang melihat jenazah itu” katanya

Menurut waris lelaki tersebut, arwah ayah mereka mempunyai saka sehingga mereka juga tidak sanggup untuk menunggu di belakang van, kerana takut akan diganggu.

Wanita Misteri

Peristiwa kedua pula berlaku apabila, beliau diarahkan untuk menghantar jenazah seorang perempuan tua di kawasan perladangan Felda pada jam 2 pagi.

Dia berhenti sebentar di tepi jalan untuk membuang air. Sekembalinya ia ke van, beliau mendapati seorang perempuan berambut panjang duduk di sebelahnya sambil muka menghadap ke luar.

“Saya cuba tegur dan bertanya wanita itu hendak ke mana, tetapi dia hanya mendiamkan diri sehingga saya mula merasa seram dan membaca pelbagai ayat al-Quran, tetapi wanita itu masih tidak hilang.

” Kenderaan juga tidak dapat bergerak laju sehinggalah sampai di pekan Pendang dekat tanah perkuburan Cina, barulah wanita misteri itu hilang. Selepas hilang, barulah saya lega,”

Bau wangi, menyenangkan

Tidak semua hari berlalu dengan perkara menakutkan. Ismail juga pernah mengalami peristiwa manis, ketika membawa seorang jenazah lelaki tua ke Baling, Kedah pada jam 4 pagi.

Ketika mengangkat jenazah tersebut, terasa ia ringan sedangkan mengikut laporan jenazah itu beratnya 60kg dan senang dibawa masuk ke dalam van.

Selepas beberapa minit perjalanan, bau harum dan wangi dapat dihidu sepanjang perjalanan ke rumah si mati. Ramai yang sudah menunggu kehadiran jenazah tersebut.

Menurut cerita orang kampung, si mati adalah seorang yang kuat melakukan ibadat dan disenangi masyarakat sekitarnya.

Ismail berkata, segala peristiwa yang berlaku kepadanya banyak memberi iktibar dan dia percaya semuanya itu adalah kehendak ALLAH yang Maha Berkuasa.

Perkongsian Daripada Unknown.

What do you think?

Written by ERRA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Van Jenazah

Roommate Jelmaan Jin