in

Mayat

Hati saya mula rungsing. Mayat yang sedang saya mandikan menyebabkan bulu roma saya tegak, seram, seluruh badan berasa hangat serta tidak tenteram.

Bukanlah keadaan mayat yang cuma separuh sahaja itu yang sebabkan saya rasa seram, tapi ada sesuatu yang lain yang saya rasakan ada bersama-sama kami, yang mengganggu kami. Keadaan mayat tersebut memang mengerikan sebab cuma bahagian pinggang ke bawah saja yang saya dan kawan-kawan saya uruskan. Mayat yang dalam lingkungan umur 30-an tahun itu dijumpai terapung di dalam laut selepas beberapa hari dicampak ke situ. Baunya memang busuk.

Walaupun demikian sekali rupa mayat tersebut, namun ia tidak menyeramkan saya. Sudah bermacam-macam mayat yang pernah saya uruskan yang lebih dahsyat dan lebih ngeri daripada itu. Tapi mayat yang ini lain macam sedikit.

Semasa memandikan jenazah itu bulu roma saya terus tegak. Tapi saya uruskan juga sambil membaca ayat-ayat suci Al-Quran, khususnya ayat kursi, terus saya baca. Berdasarkan lepas-lepas, jika begitu perasaan yang saya alami, maknanya jenazah yang saya uruskan bukanlah dari kalangan mereka yang dicintai Allah.

Apabila sudah selesai menguruskannya, kami hantar jenazah tersebut ke kawasan perkuburan.

Encik, jangan kebumikan dulu jenazah ini, sehingga saya datang ke sini semula,

pesan saya kepada penggali kubur. Saya tidak dapat turut serta kerana saya perlu menghantar dahulu juru urus jenazah wanita yang dipanggil untuk menguruskan satu jenazah lain.

Insya-Allah,

jawab penggali kubur tersebut. Saya tinggalkan dia tanpa memberitahu kepadanya bahawa mayat tersebut bermasalah. Bagi saya ini perkara aib, tak perlulah saya jelaskan kepadanya.

Selepas menghantar juruurus jenazah wanita, saya balik ke kawasan perkuburan tersebut. Hajatnya untuk sama-sama mengebumikan jenazah berkenaan, namun apabila tiba di kuburnya, saya tengok ia sudah dikebumikan.

Tak apalah ustaz. Saya dah kebumikan. Dah selesai,

kata penggali kubur tersebut.

Alhamdulillah. Tak apalah, saya balik dulu.

Namun apabila masuk sahaja ke dalam kereta, saya rasa seperti ada sesuatu yang mengekori. Seolah-olahnya mayat itu ada dalam kereta untuk mengikuti saya pulang ke rumah. Perasaan seram kembali semula. Dengan serba sedikit ilmu yang saya tahu, saya cuba halau benda itu. Namun saya tahu saya gagal dan ia mengekori hingga ke rumah kerana pada malam itu saya berperang dengannya.

Kira-kira pukul 11 malam, ketika kami sekeluarga hendak tidur, saya mula rasa lain macam. Isteri dan anak saya juga gelisah seperti ada sesuatu yang mengganggu perasaan mereka. Perasaan seram kembali datang. Bulu roma saya meremang.

Satu demi satu ayat suci saya baca dan kemudian hembuskan hingga syaitan itu pergi meninggalkan saya. Biasanya saya gunakan surah Al-Fatihah, ketiga-tiga Qul, ayat Qursi, amanarrasul dan satu ayat lain yang terakhir. Alhamdulillah saya berjaya, tapi tiadak lama kemudian gangguan itu datang kembali. Sekali lagi saya bacakan ayat-ayat tertentu dan hembuskan ke arahnya. Untuk sementara waktu, ia lari meninggalkan saya.

Rupa-rupanya gangguan itu cumalah permulaan. Semakin larut malam, tindakannya semakin agresif. Apabila saya mula hendak melelapkan mata, ia kembali semula dan mencucuk tubuh saya. Saya tersentak dan tidak jadi tidur. Saya lihat sekeliling, tapi tiada apa yang saya nampak kecuali gelap. Saya baca ayat-ayat tertentu dan gangguan itu berhenti seketika

Memikirkan gangguan itu sudah berakhir, saya cuba melelapkan mata. Namun apabila saya hampir terlena, ia datang semula dan mencucuk pusat saya. Sekali lagi tersentak. Begitulah yang berlaku seterusnya. Punggung dan badan saya dicucuk apabila hendak melelapkan mata. Setelah hampir sejam diganggu, akhirnya gangguan itu terus berhenti. Saya tidur tanpa sebarang gangguan lagi.

Alhamdulillah, itulah sekali saya diganggu oleh syaitan daripada mayat berkenaan.

Perkongsian Daripada Unknown.

What do you think?

Written by ERRA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

La Llorona (The Weeping Woman)

Mayat 2