in

Loceng Rumah

Sejak kecil, hidup ku berpindah-randah dek kerana ayah sering ditugaskan di luar kawasan. Selalunya tidak sampai 5 tahun di satu-satu tempat. Dan sejak itulah aku alami banyak pengalaman sebegini. Sehingga sampai satu tahap, aku fikir ini semua normal. Waktu itu, kami menetap di Kuala Lumpur. Kami baru berpindah dari Kota Kinabalu. Rumah yang kami menetap itu pernah kami duduki sewaktu baru sahaja siap, tapi setahun sahaja. Lepas itu, ayah ditugaskan ke Sabah, jadi rumah itu disewakan. Aku masih kecil, dalam 8 tahun. Jadi, aku tak berapa pasti adakah rumah itu disewa sepanjang tempoh kami di Sabah, atau tidak.

Semenjak menetap kembali di rumah itu, fikiran aku selalu sahaja kusut. Aku selalu gelisah dan takut. Aku masih ingat, ibuku melarang bermain di laman belakang, kerana katanya aku asyik memanggil-manggil “Mama” di kawasan belakang rumah jiran yang tidak berpenghuni. Waktu malam pula, aku selalu gelisah tak dapat lelapkan mata. Selalunya, bila aku terlalu takut, aku akan mengetuk pintu bilik ibu ayahku sambil menangis. Selalu saja kedengaran orang dewasa bergaduh besar membingit telinga. Aku tak pasti dari mana datangnya suara itu. Yang pasti, hampir setiap malam tidur aku diganggu dengan suara itu.

Ayah tahu tentang hal itu. Seringkali dia melaungkan azan dan solat di setiap kawasan dalam rumah. Kadang dia solat di dapur, kadang solat di ruang tamu, kadang di bilik belakang. Dalam keluarga ku, yang sering diganggu ialah ibu dan aku. Satu hari, sedang ayah hendak mengimamkan solat maghrib, terdengar orang memberi salam di hadapan rumah. Kami mengintai dari atas, langsung tak nampak kelibat apa apa. Tapi suara lelaki memberi salam itu masih kedengaran dan seakan-akan betul-betul mahu menunggu kami untuk menjemputnya masuk. Tapi pelik, mengapa tak ditekan butang loceng? Lalu ayah tidak menghiraukannya. Ayah kata, “lebih baik kita solat, mana ada orang datang ke rumah orang lain maghrib maghrib”. Lalu kami terus solat dan biarkan suara itu beransur hilang.

Lepas solat, ayah mengajak kami untuk semak butang loceng rumah. Mana lah tahu, mungkin ia sudah rosak sebab tu tetamu tadi menjerit memberi salam. Kami sangkakan ia rosak, tapi bila ayah menekan butang tersebut, bergema satu rumah kami dengan bunyi loceng itu. Jadi, kenapa lelaki tadi tidak menekan butang loceng itu? Hari demi hari, kerap kami dengar suara lelaki tersebut memberi salam. Waktunya sama, maghrib. Waktu itu, kami sudah semakin takut, ayah pula semakin berang. Manakan tidak, hampir setiap kali maghrib! Jadi satu hari, ayah keluar dan cakap di hadapan pintu pagar rumah sesuatu, seperti menyergah makhluk itu. Selepas itu, tiada lagi kedengaran suara itu.

Kami sangka ia sudah berakhir. Tapi, hanya beberapa hari tanpa gangguan. Selepas itu, tiada lagi suara menjerit memberi salam tapi lebih teruk lagi. Makhluk itu mula bermain dengan loceng rumah kami. Waktu yang sama, maghrib. Cuma kali ini ia menekan butang loceng rumah. Hanya Tuhan yang tahu, kami adik beradik semua ketakutan. Sudahlah bunyi loceng itu bergema satu rumah, ia pula tak henti-henti seperti orang marah yang tak sabar untuk menyuruh kami membuka pintu pagar. Ayah sudah cuba pelbagai cara, namun laungan Azan ayah tetap tidak dapat menenggelamkan bunyi loceng rumah kami yang tak henti berbunyi. Ayah mengajak kami solat dan dia cuba untuk melaungkan setiap bacaan surahnya. Entah bila, bunyi itu hilang.

Selesai solat, ayah tekad untuk membaca ayat ayat di setiap penjuru rumah. Aku tak pasti ayat apa, kerana aku masih kecil. Tapi aku yakin ayah aku sedang cuba ‘memagar’ dan menjauhi kami dari gangguan itu. Selepas itu, ayah mengambil perkakasan bertukangnya, dan menanggalkan butang loceng itu. Speaker bunyi loceng yang bergema di dalam rumah itu juga ayah tanggalkan. Sejak itu, tiada lagi gangguan suara dan loceng itu. Sehingga lah 2-3 tahun lepas, baru ayah pasangkan semula loceng rumah. Setakat ini, perkara tersebut tidak berulang lagi. Dan aku harapkan tidak akan berulang lagi kerana ia cukup menakutkan aku, walaupun kini aku telah dewasa.

Perkongsian daripada Iwan.

What do you think?

Written by Maya

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Hantu Cangkul

Pengalaman Di Hutan Beruas Perak