in

Kursus Bahagian 1

Pengalaman ini terjadi semasa saya terpilih mengikuti satu kursus intensif selama 10 minggu di salah satu bahagian di Sarawak. Kursus itu melibatkan penyertaan dari semua bahagian dan jurulatihnya diimport dari luar negara. Semua peserta dikehendaki tinggal di hotel itu sepanjang tempoh kursus.

Saya ditempatkan di 1 bilik bersama 2 orang peserta. Yang satu bilik bersama saya ialah MayLee dan Lala (bukan nama sebenar). Jadi kedudukan kami di dalam bilik itu adalah seperti ini: bermula dari pintu masuk, ada tandas di tepi kiri. Di sebelah tandas itu, katil-katil kami disusun dengan saya yang paling dekat dengan tandas diikuti oleh MayLee dan kemudian Lala. Pada awalnya, memandangkan saya belum mengenali peserta lain di situ, saya dan MayLee dengan mudah berkawan. Kami ke mana-mana saja bersama. Lala, kerana sudah ada kenalan di situ, hanya menyertai kami kadang-kadang saja. Tapi secara umumnya, kami bertiga hidup dengan harmoni sepanjang kursus.

MayLee seorang yang lurus, agak pendiam namun setelah mengenalinya, dia seorang yang sangat cerdas dan mudah terhibur. Dia masih bujang dan tinggal tidak jauh dari hotel tersebut, tapi hanya balik ke rumah seminggu sekali untuk membersih rumah dan membasuh baju. Lala pula seorang wanita yang ramah, ceria sudah berkahwin tapi belum dikurniakan cahaya mata. Dia akan balik ke rumahnya jika program kursus itu tiada kuliah malam  dan hampir setiap hujung minggu dan cuti umum dia akan diambil suaminya ke rumah.

Sepanjang kursus tersebut semuanya ok sehinggalah pada suatu malam, hanya saya yang tinggal di bilik kerana MayLee dan Lala sama-sama balik ke rumah mereka minggu itu. Saya sedang mengulangkaji nota sambil berbaring dengan arah kepala saya ke kaki katil. Hanya lampu tepi katil dan lampu dekat dengan saya di kaki katil saja yang dinyalakan. Tv dipasang tetapi volumenya saya perlahankan kerana saya ingin fokus. Jadi boleh bayangkan keadaan masa tu dengan lighting area saya saja yang ada. Arah pandangan saya ketika itu adalah katil Maylee yang sangat kemas dan katil Lala yang terbiar dengan selimut yang tidak terlipat. Keletihan, saya terlelap dan apabila saya buka mata, alangkah terkejutnya saya apabila ada satu sosok putih berbentuk manusia berselimut penuh…seperti gula-gula (pocong)…sedang berbaring terlentang di katil Lala, dengan arah kepalanya ke kaki katil.

Oleh kerana lembaga itu berselimut penuh, mukanya tidak terlihat jelas. Saya cuma terpaku menatap sosok itu sambil dalam hati saya terdetik untuk berhenti berbuat begitu dan paksa diri memandang ke arah lain. Semua bulu roma di tubuh meremang dan nafas saya semakin kencang. Saat itu masa dirasakan berlalu sangat lambat…Perlahan-lahan, saya pusingkan badan dan baring memandang dinding. Dengan mata yang dipejam, tubuh yang penuh dengan keringat dingin, saya kekal kaku seperti itu sehingga esok pagi. Doa-doa, ayat-ayat suci semuanya ke laut. Kenapa saya tidak bangun dan lari saja dari bilik pada masa itu? Entahlah, bila difikirkan kembali hanya itu saja yang mampu saya buat.

Bagaimana keadaan katil Lala pada esok paginya? Seperti yang saya lihat sebelum adanya sosok itu (masih tak terurus). Risau perkara yang sama akan berulang, saya lipat selimut dan tilam Lala. Rasionalnya bagi saya, biarlah katil tu nampak kemas walau tidak dihuni. Ketika saya masih tinggal di asrama semasa zaman sekolah, kami diingatkan oleh senior untuk selalu kemas tempat tidur untuk mengelakkan tempat tidur tu ditumpangi oleh sesuatu yang tidak kita lihat. Mungkin sesuatu itulah yang menampakkan dirinya malam itu.

Apakah reaksi MayLee dan Lala? Apakah itu saja yang saya alami di bilik tu sepanjang kursus itu? Nantikan bahagian kedua ya..

Perkongsian daripada Fateema.

What do you think?

Written by Maya

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Gangguan Jin Bayi Di Asrama

Sebulan Di Alam Ghaib Bahagian 2