in

Kubur Mati Terbunuh

Segala pesanan Alang Sitam sudah disimpan baik-baik dalam hatinya. Maskon akan berusaha memenuhi impiannya. Selama ini dia merasa dirinya dipandang rendah oleh masyarakat kampung, kerana kemiskinan dan rupa parasnya hodoh serta berkulit hitam.

Setiap kali dia cuba tersenyum semasa bertemu Mahawa anak gadis Pak Buyong, gadis itu cepat-cepat memalingkan muka. Maskon merasa dirinya seolah-olah sampah di tepi jalan saja.

Tidak cukup dengan sikap Mahawa itu, dia semakin terhina dengan ejekan Kahar seorang pemuda tampan.

“Hei, cerminlah muka kau dulu kalau ada hati dengan Mahawa…” Kahar mentertawakan dia.

Lama Maskon memendam perasaan. Dirinya terlalu hina dipandang oleh masyarakat kampung. Dia mahu jadi kaya kalau boleh, tapi bagaimanakan caranya? Dia mahu menjadi pemuda tampan, tetapi bagaimanakah caranya?

Kalau dia kaya, sudah tentu orang-orang kampung tidak berani menghinanya. Kahar tidak akan mengejek kalau dia cuba untuk mencumbui Mahawa. Gadis itu juga tidak akan menolak jika dicumbui, kalau dia seorang yang kaya dan mempunyai paras yang tampan.

Dendam ini menyala-nyala dalam dada Maskon. Kadangkala dia disindir juga oleh emaknya Mak Jeton, kerana selalu mengelamun.

“Jangan berangan-angan Maskon.” Kata Mak Jeton. “Asyik berangan-angan semua kerja tak jadi. Perut lapar tak boleh kenyang dengan angan-angan saja.” Ujar emaknya bagaikan terasa menghiris ke hati Maskon.

Kadangkala dia menangis sendiri. Mengapa nasibnya tidak sebaik adiknya, Johar. Adiknya dilahirkan sebagai anak muda yang tampan dan segak. Kahar tidak berani mengejek-ngejek adiknya, Johar. Malah Mahawa juga kelihatan begitu mesra kalau berbual dengan Johar.

Perasaan ini sering menghantui jiwa Maskon. Dia tahu kerana mukanya hodoh, kulitnya yang hitam dan badannya yang kurus melengkung itulah menyebabkan masyarakat kampung memandang hina terhadapnya. Dia tidak percaya dengan kata-kata Johar yang mengatakan semuanya itu adalah perasaan dirinya semata-mata.

“Orang tidak memandang paras muka atau pun harta benda kita bang…..” jelas Johar. “Sebaliknya orang memandang perangai kita. Kalau abang tidak boleh ditegur orang, mudah tersinggung kalau dinasihatkan orang, cepat marah kalau ada yang tak kena pada hati, tentulah orang tidak mahu berbaik-baik dengan kita.” Tegas Johar mengingatkan dia.

Tetapi kata-kata Johar itu tidak memberi kesan kepada Maskon. Dia tetap percaya bahawa orang-orang kampung memandang hina terhadapnya kerana kemiskinan dan rupa parasnya yang hodoh. Bukan kerana sikapnya yang cepat tersinggung itu. Pada orang-orang kampung, sikap Maskon itu dikira sebagai angkuh, sombong dan tidak sedar diri sendiri – tetapi sebenarnya seorang yang menghadapi tekanan ‘inferiority complex’.

Bermula dari sinilah Maskon berdamping rapat dengan Alang Sitam, seorang pendekar dan bomoh yang terkenal di kampung itu. Dia belajar berbagai ilmu pertahankan diri serta kebatinan.
Setelah puas berguru dengan Alang Sitam, tiba-tiba Mak Jeton mendapati Maskon menghilangkan diri dari rumah. Tidak tahu ke manakah dia membawa diri. Alang Sitam sendiri tidak tahu ke mana Maskon pergi, kerana dia tidak pernah memberitahu Alang Sitam akan tujuannya.

Sehingga sewaktu Mahawa dikahwinkan dengan Johar pun, Maskon tidak balik. Malah ada desas-desus mengatakan bahawa Maskon pergi meninggalkan kampung setelah mendengar khabar bahawa Mahawa sudah dipinang. Apalagi orang yang meminangnya ialah adiknya sendiri iaitu Johar.

Sebenarnya, Johar dan Mak Jeton tidak tahu menahu mengeai niat Maskon yang ada menaruh hati kepada Mahawa itu. Oleh itu apabila Johar dan Mak Jeton menganggap sepi saja akan kehilangan maskon. Orang-orang kampung merasa bahawa Maskon meninggalkan kampung kerana Mahawa adalah cerita benar.

Mereka mendakwa sikap Johar itu tidak patut. Johar lebih sanggup menyahkan abangnya dari kampung kerana mahu memperisterikan Mahawa. Mereka juga menuduh kasih sayang Mak Jeton pada anak-anak juga berbelah bagi. Mak Jeton lebih sayangkan Johar dari Maskon, kerana keadaan diri Maskon itu.

Tidak lama selepas perkahwinan Mahawa dengan Johar, perempuan itu jatuh sakit tidak sedarkan diri. Dia tiba-tiba saja jatuh tidak dapat bergerak lagi. Kelam kabutlah keluarga johar dan Mahawa dengan berita yang tidak diingini itu.

“Panggillah Alang Sitam..” Pak Buyong memerintahkan Johar.

Pak Buyong menjadi cemas dengan kejadian yang tidak diduga itu. Dia mula mengesyaki bahawa itu adalah perbuatan abang Johar sendiri, Maskon. Sebab Maskon pernah mengingatkan dia lebih baik putih tulang daripada berputih mata. Tetapi Pak Buyong tidak menduga bahawa Maskon sanggup melakukan setelah Mahawa menjadi adik iparnya sendiri. Teka teki ini bermain dalam kepala Pak Buyong. Kalau benarlah itu perbuatan Maskon, dia lebih rela Mahawa dipisahkan dari Johar.

Selama ini Pak Buyong tahu mengenai diri Maskon yang banyak belajar dari Alang Sitam. Tetapi kalaulah benar Maskon mahu memikat Mahawa secara paksa, tentulah dia boleh menggunakan ilmu guna-guna. Tentu Alang Sitam juga menurunkan ilmu guna-guna itu kepada Maskon.

“Sudah datang kah Alang Sitam?” tanya Pak Buyong bila melihat Johar tergopoh-gopoh menungkat basikal di tengah halaman.

“Sekejap lagi….” Beritahu Johar bekejar-kejar semula naik ke atas rumah.

“Kenapa tak datang sama dengan dia sekali?” Pak Buyong tidak sabarkan mahukan Alang Sitam segera datang ke situ.

“Kalau ia pun, sabarlah besan..” sahut Mak Jeton mengingatkan Pak Buyong.

“Eloklah kita jangan cemas, nanti yang sakit belum tentu khabar, kita pula yang terlantar. Sebuah kampung pula yang gempar…” katanya sambil memerhatikan juga dari jauh di sebalik belukar, kalau-kalau Alang Sitam muncul.

Selepas Maghrib barulah Alang Sitam datang. Lantas dia memulakan untuk membakar kemenyan. Segala permintaan Alang Sitam yang diberitahu kepada Johar, semua sudah disediakan.

“Ini kena sihir anah orang mati terbunuh” jelas Alang Sitam semasa mula memotong limau tujuh jenis.

“Siapa yang buat?” cepat-cepat Pak Buyong menyoal.

“Adat orang berdukun, memang tak boleh cakap nanti memfitnah pula.” Sahut Alang Sitam tersenyum.

Tetapi Pak Buyong tidak puas hati. Dia tetap mengesyaki akan perbuatan Maskon.

“Ini kerja Maskon. Baik Alang Sitam cakap, iya atau tidak?” tuduh Pak Buyong.

“Saya tak tahu…” jawap Alang Sitam tergamam dengan tuduhan Pak Buyong.

“Tentu, tentu… ini kerja Maskon.” Pak Buyong mengetap bibir.

“Sabarlah dulu besan…” Mak Jeton mencelah. Tersinggung juga dia dengan tuduhan Pak Buyong terhadap anaknya Maskon. Kalau Maskon menganiaya Mahawa, samalah seperti dia menganiaya Johar juga. Dia percaya takkan Maskon tergamak melakukannya.

Tetapi sejak tiga tahun Maskon menghilangkan diri dari kampung halaman, tentu dia tidak mengetahui bahawa Mahawa sudah menjadi adik iparnya.

“Tidak saya percaya. Tentu ini kerja Maskon. Dia tak tahu Mahwa dah jadi adik iparnya. Dia ingat Mahawa masih belum nikah lagi, sebab itu dia lakukan kerja ini.” Tuduhnya lagi.

“Kalau Maskon, takkan dia nak tunggu sampai tiga tahun, tentu masa dia meninggalkan kampung dulu lagi dia dah buat.” Ujar Alang Sitam.

Dengan penerangan Alang Sitam itu. Legalah hati Mak Jeton. Pak Buyong tidak lagi berani menuduh kerana Alang Sitam sudah menafikan perbuatan Maskon.

Tetapi siapakah yang punya angkara? Mahawa masih juga terlentang di tengah rumah tidak sedarkan diri. Tiga hari Mahawa dalam keadaan tidak sedarkan diri, tiba-tiba muncul Maskon di kampung itu. Apabila diberitahu kejadian yang menimpa keluarganya, dia hanya tersenyum saja. Sikap Maskon ini membuatkan Pak Buyong mula mengesyaki sesuatu. Dia mula tidak percaya lagi kata-kata Alang Sitam yang mempertahankan Maskon.

“Ini semua angkara kau..!! jerkah Pak Buyong tidak dapat menahan sabra. Beberapa orang cuba menahan Pak Buyong supaya tidak melakukan tindakan terburu-buru.

Maskon hanya tertunduk tidak bercakap apa-apa. Pak Buyong dalam keadaan marah terlepas dari pegangan orang ramai. Dia terus menerpa ke arah Maskon dan mahu memukulnya. Sebaik saja dia menghampiri Maskon, tiba-tiba saja dia terpelanting ke dinding.

“Ingat Allah, Pak Buyong.” Suara Maskon tenang. Orang ramai yang ada di situ terkejut dengan sikap Maskon. Dia tidak lagi mudah panas baran apabila menerima kata-kata kesat yang demikian. Dia tetap bertenang sekali pun kata-kata Pak Buyong itu benar-benar menyakiti hatinya. Pak Buyong yang terpelanting itu mengurut-ngurut dada kerana kesakitan.

“Astaghaffar dan ingatkan Allah.” Ujar Maskon.
Tetapi Pak Buyong masih lagi menderita kesakitan. Sebenarnya semua orang melihat bahawa Maskon tak bergerak langsung dari tempat duduknya. Hanya Pak Buyong saja terpelanting bagaikan ditolak dengan kuat.

“Baca astaghaffar banyak-banyak dan ingatkan Allah.” Kata Maskon lagi.

Pak Buyong mengikut sahaja arahan Maskon. Dia masih lagi mengurut-ngurut dadanya. Maskon bangun dari duduknya. Dia meniup Pak Buyong, lalu meniup tapak tangannya. Kemudia dia menyapu-nyapu ke dada Pak Buyong. Sebaik sahaja disapunya, Pak Buyong merasa kesakitan di dadanya hilang. Tetapi dia masih termengah-mengah juga.

Selepas kejadian itu, orang yang ada di situ menceritakan semua yang terjadi kepada Maskon. Mereka sedar bahawa Maskon yang di hadapan mereka sekarang bukan lagi Maskon tiga tahun dulu.

“Perkara Mahawa ni, tunggulah sampai guru saya Alang Sitam datang.” Katanya perlahan.

Apabila Alang Sitam datang untuk mengubat Mahawa, cepat-cepat Maskon turun ke halaman menyambutnya. Maskon membongkok mencium tangan Alang Sitam. Kemudian mereka sama-sama naik ke rumah.

“Hah, Maskon dah ada, biarlah dia sendiri mengubat adik iparnya.” Jelas Alang Sitam.

“Dulu dia murid saya tetapi sekarang dia dah lebih dari saya. Dia dah dapat yang lebih tinggi dari saya.” Jelasnya menepuk-nepuk bahu Maskon.

“Tapi Pak Lang yang menunjukkan semuanya kepada saya. Semuanya adalah kuasa Allah.” Sahut Maskon tenang. “Pak Lang yang menyuruh saya ke sana…” jelasnya lagi.

“Ke mana?” tanya orang-orang yang berkumpul di situ.

“Ke Sumatera…..” kata Alang Sitam mencelah. “Dia belajar pondok di sana…” ujarnya.

“Jauh dia merantau.” Pak Buyong menyatakan kesalnya. “Patutlah banyak pengalaman dia.” Katanya menitiskan air mata terharu.

Kemudia Pak Buyong sendiri meminta Maskon mengubatkan Mahawa. Johar juga merayu supaya abangnya menolong mengubati. Setelah meminta izin dari Alang Sitam, Maskon pun duduk di kepala Mahawa. Dia membaca enam ayat terakhir dari Surah Yassin dengan jelas didengar oleh semua orang-orang yang ada di situ. Selepas itu disambung dengan ayat Kursi. Dia meneruskan bacaannya dari satu ayat Surah Al-Naam, Al-Sajadah dan Surah Bani Israil yang terdapat dalam Al-Quran.

Maskon terus membaca beberapa lagi ayat yang terdapat dari pelbagai Surah di dalam Al-Quran. Apabila dia memulakan bacaannya kepada Surah As-Saffa, tiba-tiba tubuh Mahawa bergerak. Dia menggeliat sambil merengek kesakitan.

“Celaka kau Pak Kiyai…” pekik Mahawa. “Mengapa kau datang ke sini. Kau nak bakar hangus semua tempat aku ye!” dia mula meronta-ronta. Beberapa orang terpaksa memegangnya.

“Bukan aku yang bakar, tetapi ayat-ayat Allah.” Sahut Maskon. “Kalau kau tahan dengan ayat-ayat Allah, tunggulah. Kalau tidak kau mesti pergi dan tinggalkan perempuan ini.” Katanya.
“Tidak…” balas roh ghaib yang sudah meresap di dalam tubuh Mahawa. “Aku diupah supaya membunuh perempuan ini, kau tahu Pak Kiyai.” Katanya berkeras.

Orang-orang yang mendengar kata-kata itu menjadi cemas. Tetapi mereka bersyukur kerana segala rahsia yang menimpa keluarga Mahawa hampir dapat dikesan. Mahawa yang selama tiga hari terlentang tidak bergerak, sudah boleh meronta-ronta dan melawan.

“Kalau kau tak mahu pergi akan aku azankan…” Maskon macam memberi amaran.

“Jangan, jangan, jangan,” Mahawa menangis teresak-esak.

Maskon tidak peduli. Dia terus azan ke telinga kanan Mahawa. Ketika ini Mahawa terhempas pulas mahu melarikan diri. Tetapi Maskon terus azan berulang kali. Cara Maskon mengubati Mahawa mengherankan orang. Dia tidak menggunakan dapur berasap dan kemenyan, tidak menggunakan alat-alat ubat dan tidak ada apa-apa perkakas. Dia hanya membaca ayat-ayat suci yang dipetik dari Al-Quran.

Alang Sitam pula tak membantah cara perubatan yang dilakukan oleh Maskon. “Itulah cara yang betul…”ujar Alang Sitam membisikkan pada Johar. “Yang aku buat selama hari ini hanya sebagai ikutan saja. Kalau aku tak buat macam itu, nanti orang tidak yakin pula. Sebab selama ini mereka melihat cara orang berubat macam tu” katanya lagi.

Mahawa yang tidak sedar selama tiga hari sudah bertukar menjadi garang. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri. Tetapi beberapa orang memegangkannya. Selama tiga hari dia hanya terbujur macam mayat, tetapi selepas diubat oleh Maskon, dia semakin kuat bertindak.

“Kalau kau tak mahu tinggalkan perempuan ini, aku serbu tempat kau…” kata Maskon memberi amaran.

Dia terus mengambil wudhuk, kemudia melakukan sembahyang sunat dua rakaat. Selepas itu dia berbaring jauh sedikit dari Mahawa dan mengingatkan orang-orang yang memegang Mahawa supaya jangan benarkan Mahawa menyentuh dirinya sewaktu dia tidur.

Setelah Maskon kelihatan tidur, keadaan Mahawa semakian garang. Dia meronta-ronta dengan kuat sambil memekik meminta tolong supaya dilepaskan. Tetapi Alang Sitam yang berada di situ mengingatkan mereka supaya jangan tunduk kepada rayuan Mahawa mahu lepas itu.

“Yang merayu tu bukan Mahawa, tapi setan.” Jelas Alang Sitam.

Ketika ini orang melihat Maskon tertidur. Tetapi sebenarnya Maskon sudah keluar mencari punca yang menyebabkan Mahawa sakit. Hanya tubuh Maskon saja yang berada di situ, tetapi semangatnya sudah terbang mencari musuh adiknya.

Maskon sampai pada sebuah kubur orang mati akibat perlanggaran kereta. Dia melihat seorang pemuda menggali kubur ini waktu tengah malam. Setelah dapat digali, pemuda berkenaan mengambil sekepal tanah dari bawah kepala mayat berkenaan. Dia juga mengoyakkan kain kapan mayat kira kira satu kaki persegi.

Setelah semuanya diperolehi, pemuda itu mengambus semula kubur tersebut. Dia membaawa tanah yang dikepal tadi bersama cebisan kain kapan kepada seorang lelaki tua di sebuah pondok. Lelaki itu dipenuhi dengan tangkal azimat di seluruh tubuh badannya.


Lelaki berkenaan membentuk tanah yang diambil dari kepala mayat menjadi seperti patung orang. Dia membungkus tangan tersebut dengan kain kapan. Selepas itu dia mencucukkan jarum dari arah kepala patung itu lalu diasap kemenyankan. Patung yang sudah dikapankan itu dipuja dengan jampi serapah, lalu diletakkan di sebuah busut yang jauh dari tempat orang ramai.

“Hah!! Ini kerja kamu te setan!!” jerkah Maskon.

“Celaka kau Pak Kiyai, buat apa kau datang ke sini!” lelaki itu kelihatan marah.

Tetapi orang ramai yang ada di rumah Pak Buyong tidak mendengar kata-kata Maskon. Mereka hanya mendengar suara lelaki tua itu saja melalui pekikan dan jeritan Mahawa.

“Tinggalkan perempuan itu….” Maskon menunding kea rah anak patung yang terletak di atas busut.

“Tidak, aku sayang padanya. Aku sayangkan perempuan ini.” Sahut lelaki berkenaan.

“Kau setan, ilmu kau tak akan mengatasi ilmu manusia.” Maskon mengancam.

“Pak Kiyai jangan ganggu aku..!” lelaki tua itu semakin marah.

“Aku tak ganggu kau, kalau kau tinggalkan perempuan ini.” Jelas Maskon.

“Mana boleh! Aku diupah supaya jaga perempuan ini.” Dia cuba berdalih.

“Ah! Setan memang selalu mungkir janji. Apa salahnya kau tinggalkan. Peduli apa dengan upah itu. Kalau tidak aku akan bakar kau dengan petir kalimat Allah.” Tegas Maskon lagi.

“Tolong Pak Kiyai jangan bakar aku. Tak tahan panasnya.” Lelaki itu merayu.

“Ingat setan.. Roh manusia boleh membesar dengan tidak ada batasan, sedangkan roh kamu membesar ada batasnya. Allah memberi manusia ilmu yang tinggi dari setan. Ingat: Innahu min Sulaiman Wainnahu bismillahirahmannir Rahim…” suara Maskon bergema hingga bergegar sekeliling pondok orang tua itu.

“Cukup Pak Kiyai, cukup.. tak tahan aku.” Lolongan lelaki itu bergetar. Lolongan itu terjelma dalam tubuh Mahawa yang meronta-ronta kesakitan di rumah Pak Buyong.

“Sekarang pergi meninggalkan perempuan ini. Atau aku akan hancurkan kamu!” Maskon semakin mengancam.

“Aku sayang pada perempuan ini Pak Kiyai. Aku disuruh jaga perempuan ini sampai mati.” Sahutnya merintih-rintih.

“Allah yang menentukan hidup mati perempuan ini, bukan kau. Innama amruhu zza arradan syaian ann yakulalahhu kun faya kun…” bentak Maskon.

Suaranya terus bergema mengancam pondok lelaki berkenaan. Tubuh Maskon menjadi besar berlipat ganda yang tidak boleh dikalahkan oleh setan dan iblis lagi. Lelaki berkenaan menjerit kesakitan. Dia menerpa kea rah pemuda yang meminta pertolongan darinya. Dia cuba berlindung di sebalik pemuda itu. Tetapi dentuman petir terus menyilaukan kilat menghambatnya setiap kali Maskon membaca ayat-ayat Quran.
“Tolong Pak Kiyai, tolong Pak Kiyai….” Jerit lelaki tua itu merayu dan merintih. Jeritan itu menjelma dalam tubuh Mahawa,sampai dapat didengar oleh semua orang yang ada menunggu Mahawa di rumah Pak Buyong.

Maskon terus membacakan ayat-ayat Quran. Dia tidak mahu lagu berunding dengan lelaki berkenaan. Dia nampak lelaki itu lari sambil menarik pemuda yang menggali kubur sebelumnya. Mereka berdua sama-sama lari semula kea rah kubur. Petir terus menyilaukan kilah menyinggahi mereka berdua. Lelaki itu tenggelam ke dalam kubur, manakala pemuda yang bersama dengannya menggelupur tidak dapat bergerak lagi.

Launagn Mahawa juga menjadi lemah. Tidak lama kemudian dia membuka mata, lalu meminta air untuk minum. Ketika ini Maskon bangun dari tidurnya. Dia berastaghafar beberapa kali. Kemudian bangun terus menunaikan sembahyang sunat taubat. Dia tidak menghiraukan Mahawa yang sudah pulih semula itu. Setelah selesai menunaikan sembahyang, barulah Maskon bertanya khabar kepada Mahawa.

Mawaha yang masih dalam kebingungan itu tidak dapat menerangkan apa-apa. Cuma dia memberitahu dia hanya tidur di atas satu busut yang dikawal oleh seorang lelaki tua. Kemudian dia nampak seorang lelaki bertubuh besar dengan jubbah putih mengambilnya.

“Kalau boleh, sekarang ni kita ke tanah perkuburan. Tengok apa ada di sana.” Ujar Maskon.

Beberapa lelaki diketuai oleh Johar terus ke tanah perkuburan Pak Mahat, orang tua yang mati akibat dilanggar kereta. Ketika mereka semua sampai di sana, mereka menemui seorang lelaki terbaring di atas kubur. Tubuhnya lebam-lebam terbakar seperti disambat petir. Mereka mengenali mayat itu ialah Kahar.

Orang-orang kampung membawa mayat Kahar balik. Mereka terpaksa menerima hakikat sebenarnya mengenai kejadian itu. Maskon kembali semula di kampungnya untuk menetap. Dia mendirikan pondok dijadikan surau untuk mengajar agama. Orang-orang kampung mula memanggilnya Pak Kiyai. Dari cerita orang-orang kampung, sebenarnya Kiyai Maskon selalu balik ke kampung sebelum itu melalui cara tidurnya. Sebab itulah dia tahu apa yang telah berlaku dan bencana menimpa adiknya. Sebab itulah dia muncul apabila tenaganya diperlukan.

Perkongsian Daripada Unknown.

What do you think?

Written by ERRA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Bayangan Mahupun Ilusi.

Puntianak