in

Jangan Sampai Kena Tegur

Hi, nama aku Rose. Pengalaman yang aku nak share ni bukanlah sesaspen dan seseram orang lain punya kisah. Cuma nak share supaya korang pun beringat untuk jaga mulut masing-masing dekat tempat yang tak biasa pergi.

Pengalaman ni berlaku masa aku tingkatan 4/5 lagi. Sekarang aku dah 25 tahun pun. Bayangkanlah berapa lama aku tak cerita benda ni kat sapa-sapa. Yang tahu cuma aku, cousin dengan adik aku, angah. Sebab kami bertiga ja yang kena tegur.

Aku dengan adik-beradik membesar dengan didikan ‘hantu tak wujud’, ‘hantu tak boleh bunuh orang’ and so on. Bagi aku mana ada hantu-hantu ni. Yang ada cuma makhluk yang kita tak boleh nampak, yang kewujudan dia tak kan boleh bagi kesan pada kita.

Tapi apa yang berlaku pada aku dengan angah satu malam tu memang buat prinsip idop aku ni goyah sikit la. Kami tinggal di Selangor. Dalam masa sama, abah pulak beli kondominium dekat Mantin, Negeri Sembilan (tak yah la aku bitau nama kondo) untuk kami lepak hujung minggu anak beranak.

Abah beli kondo ni since aku umur berapa entah, lupa dah. Aku rasa sejak darjah enam lagi. Dah lama sangat sampai dah lupa. Kitorang jarang balik. Masa mula mula beli memang kerap lepak kat kondo tu, lama-lama masing-masing dah sibuk, ada yang masuk asrama and so on, maka jaranglah ada masa gathering macam dulu.

Nak dijadikan cerita, kami bawak mai cousin kami ke Mantin masa dia datang dari kampung. Mak ayah dia tak ada, ada urusan dengan KL, jadinya dia ikut kami sekeluarga lepak bermalam la kat kondo abah aku ni. Mak aku pulak tak ada masa tu, beliau ada kursus di Kelantan dan malam kejadian, beliau dah otw ke Negeri Sembilan dari Kelantan dengan bas.

Ayah aku pulak keluar dengan adik aku nombor 3 dengan nombor 4, nak gi makan katanya, sambil tunggu mak aku sampai dekat stesen bas Seremban tu ha. Maka duduklah aku, angah dengan lala -cousin kami dekat kondo tu.

Kondo ni dah lengkap. Yang tak ada cuma sofa, aircond, dengan tv plasma macam kt rumah korang sekarang. Ada tv buruk jela untuk tengok channel 1,2,3 gitu2. Bila kami boring, kami lepak dalam bilik angah, landing sesama anak dara sambil borak itu ini. Sampailah lala cousin kitorang ni pegi keluarkan soalan cepu emas,

“Along, kat sini tak ada benda pelik-pelik ke?”.

Korang expect ape aku nak jawab? Tak kan aku nak menipu pulak. Nanti kalau kata mana ada hantu, satgi kena kacau betul-betul pulak. Makanya aku pon berlaku jujurlah kepada beliau.

“Kitorang jarang lepak sini lala, tapi masa mandi pool kat bawah tu, jumpa and kenal budak-budak sini, ada lah dengar depa cerita benda-benda pelik jadi kat sini”, aku bagi mukadimah.

“Ye ke? Cerita ape?”, eh seboklah minah ni nak korek rahsia. Nak tak nak, aku pon cerita jelah cerita-cerita yang aku dengar.

Adalah budak yang stay kat kondo ni penah cerita dinding bilik dia kena cakar dari luar. Masalahnya dia duduk tingkat tujuh. Luar bilik dia tu dah tak de tanah dah, terus pemandangan udara nan indah gitteew… Giler ko tak serrammm? kalau aku jadi beliau, aku tak duduk dah kondo tu.

Ada satu blok tu, pak guard sendiri kena kacau masa rondaan, tu tak termasuk residence yang duduk kt blok tu. Bila dah teruk sangat gangguan, blok tu akhirnye kosong ditinggalkan macam tu je. tak berpenghuni (sampai sekarang).

Kisah lain yang aku tahu termasuk sekumpulan budak kecik baru je balik dari kedai serbaneka kat bawah tu. Depa tekan lif, lif out of service. Maka semuanya terpaksa jadi pendaki tangga. Sampai tingkat tiga, ada pompuan baju putih rambut panjang dok tunggu sambil cakar dinding, ko rasa depa nak tengok ja ka ‘pompuan’ tu? Memang berhambur la semua pecut marathon.

Ada yang jumpa jugak kelibat sama, dok ‘merayau’ buat rondaan dari koridor ke koridor. Tingkat demi tingkat (rajin betul hantu tu), tapi itu semua hanyalah cerita dari mulut ke mulut, selebihnya nak percaya atau tak. Aku pun tak pasti.

Lepas tu aku terdetik nak cerita pengalaman aku masa mama dengan abah mula-mula dapat kunci, kami antara keluarga terawal ‘rasmi’ kondo ni. Malam pertama kondo ni dibukak sepenuhnya, cuma ada dua keluarga yang duduk bermalam kt kondo ni. Keluarga aku dengan keluarga mana tah, depa duduk tingkat lain. Aku tau sebab aku nampak kereta dia park sebelah kereta abah.

Malam pertama aku sefamily bermalam, lepas solat maghrib, aku terhidu bau yang perrghhh gila wangi. bau bunga melor+limau kasturi, manis-manis wangi je. Dari mana datang bau? Aku tak tahu. Kebetulan memang style aku jenis tido suka biar tingkap terbukak (sampai sekarang pon). Meskipun terpana+terpesona dengan bau tu, aku decide untuk ignore, tu pun lepas aku dah terjongol ke tingkap bilik, tercari-cari mana arah bau tu datang.

Sedang dok melipat telekung, mama terjah masuk bilik tak bagi salam (aduhai mak aku…hmm), dia heret aku pegi tingkap bilik dia pulak (bilik kami sebelah-sebelah je), dia tanya aku “along ada bau tak?”.

Aku jawablah, “ingatkan along je yang tangkap bau, mama pon dapat bau ke?”. Mama angguk aje. Mama kata wangi sungguh ni. Kenapa kami yang dok tingkat empat ni pon boleh bau macam ni? Sedangkan kat area tu mana ada orang tanam pokok bunga+pokok limau pon. Semua dipacaknya pokok hiasan je.

Kami keluar dari bilik, aku pulak pegi gatal mulut tanya adik-adik yang lain. “Eh, korang ada bau tak? bau wangi gila, bau limau campur bunga melur,” tiba-tiba mama aku piappp lengan. Dia kata tok sah la bising-bising, nanti adik-adik takut. Tak semena-mena bau tu merebak ke ruang tamu pulak. Tak la kemudian habis satu rumah bau. Abah pulak pesan patut jangan dok tegur benda-benda gini. Dia ambik wuduk, siap sedia Isyak. Asal masuk waktu je dia terus azan dan solat. Malam tu masa kami ramai-ramai tidur bersusun kt ruang tamu macam ikan sardin, adik aku nombor tiga sleep walk.

Mama aku terjaga masa adik aku bangun, sebab dia tersepak kaki mama. Mama aku cerita, dia nampak adik aku tu jalan laju ke main door, goncang tombol pintu bagai nak roboh pintu, dia nak keluar dari rumah tengah-tengah pagi buta. Mama aku jerkah dia, “kak lang! Awak nak pegi mana!”.

Dia pusing pandang mama aku, balas balik kata nak gi pool kt bawah, mama aku jerkah suruh tidur, and dia balik semula ke tempat tidur.

Elok selesai je cerita pengalaman pertama kami kat rumah tu dekat lala, tiba-tiba pintu bilik tidur angah yang terkatup rapat tu diketuk dari luar. Ketukan yang sangat perlahan. Tuk…Tuk..Tuk.. Bunyi perlahan, selang ketuk tu pon slow ja dengar. Cuma aku dengan angah yang dapat tangkap bunyi tu. Aku dengan angah tengok sesama sendiri.

Nak tak nak aku terpaksa la tunjuk hero (walaupon dalam seluar nak terkencing dah). Aku bukak pintu bilik. tak de orang. Abah dengan adik-adik belum balik lagi. Aku dengan angah dah cuak. Lala kat sebelah dok tanya kenapa, ada apa, apahal. Eh kecoh la minah ni, orang tengah saspen banyak pulak soalan dia.

Angah tak lengah, dia g kat bilik aku katanya nak ambik something (aku dah lupa apa dia nak capai kt bilik aku tu), tapi dia balik semula kt bilik dia dengan muka pelik. Dia tanya aku, aku ada panggil dia ke?? Weh bila plak masanya aku nak seru-seru dia. Aku diam je kot tunggu dia ambik barang kt bilik aku masa tu!

Dalam aku dok menafikan sekeras-kerasnya tu, main door rumah kena ketuk dari luar. Bunyi bagai nak roboh. Macam pencegah maksiat nak serbu bilik hotel yang dibeli dengan harga murah di Trivago dah (biasa tengok dalam tv) hahaha. Tapi masa tu memang nak tercabut nyawa. Aku capai la towel buat cover rambut, sambil ambil tukul abah yang abah tinggalkan dalam tool box dia. Pegi kt pintu, (yela mana la tahu kot perompak ke ketuk pintu), aku kuak pintu luas-luas, tak de orang. Aku keluar rumah, cek seluruh koridor, kot ada yang menyorok nak kenakan kami ke apa, tak dak pulak.

Tiba-tiba…..BAM!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Tak de angin tak de ribut, main door terhempas. Aku berlari ke rumah. Cuba bukak pintu dari luar, angah dengan lala dah meraung sakan dah dari dalam rumah, cuba bukak pintu dari dalam. Kami struggle untuk seminit dua la jugak, cuba untuk bukak pintu. Pintu stuck macam terkunci. Angah dengan lala dah melalak dah. Aku pulak panik bercampur takut dah. Last-last pintu terbuka jugak. And lampu yang terpasang kat dapur, tiba-tiba terpadam lepas pintu dapat dibukak. Aku masuk dalam, kunci pintu, pastu semua lari lintang pukang masuk bilik. Tunggu abah dengan adik-adik balik.

Bila depa balik kami buat macam biasa. Tak nak cerita kt abah, takut abah kata kami saja reka cerita, benda ni. So moral of the story, korang tak yah la nak bercerita pasal benda-benda tu (kalau pergi tempat tak biasa kita tidur). Aku dah kena, dah beringat. Korang lepas ni jaga-jaga.

Perkongsian Daripada Unknown.

What do you think?

Written by ERRA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Dua Orang Manusia Pelik

KKB