in

Jalan Tol Putrajaya – Cyberjaya

Salam semua. Nak share pengalaman sendiri. Masa tu tahun 2008. Aku stay menyewa di Kg Teras Jernang, Bangi. Berulang – alik masa tu berkerja di Kota Damansara naik motor kapcai je. Jauh tu, 60km memang tak lari la. Belum mampu nak pakai kereta lagi time tu. Baru kerja masa tu, tak sampai sebulan lagi.

Biasanya perjalanan sehala sahaja ambik masa sejam (motor kapcai je ok, bukannya superbike boleh henjut sampai 200kmj++). Office masa tu time kerja 8.30 pagi – 5.30 petang. Biasanya tetepat je 5.30, semua pakat bungkas sauh cabut balik. Termasuklah aku jugak. Bukannya sebab malas tapi sebab kalau tak gerak time tu alamat jadi jaga la aku kena tido dalam opis sebab tak pegang kunci. Jadi biasanya dalam 6.30 – 6.40 petang dah sampai rumah sewa di Bangi.

Yang nak jadi ceritanya pulak tiba-tiba 2nd boss company tu ajak makan kat kedai dekat-dekat office tu je (office kat shop lot menghadap Kepsi, Pizza Hut dengan McD yg dok selonggok kat situ – sorry tak ingat seksyen berapa tapi siapa yg biasa dengan area tu mesti tau punya sebab keliling shop lot tu ada banyak kedai makan). Masa tu sebab baru start kerja dan belum gaji lagi, dah 2nd boss company ajak makan apa lagi ok je la boleh save bajet makan malam untuk hari tu.

Makan punya makan sembang punya sembang sesedar je jam dah pukul 6.50 petang. Mampoih aku. Dah la nak balik jauh gila kompom malam baru sampai. Boss aku tu tak apalah rumah dia dekat2 situ je. Lepas cakap terima kasih dan kami sama-sama gerak, aku pun pecutla motor buruk tu (top speed motor tu ikut meter dapatla 90kmj tapi speedometer motor bukannya accurate macam kereta maknanya laju sebenarnya dalam 70 lebih kurang macamtu je la).

Masuk highway NKVE lepas tu masuk highway ELITE menghala arah KLIA Alhamdulillah la lancar je (ELITE masa tu petang-petang tak jem macam sekarang). Keluar ikut exit Putrajaya pun ok lagi cuma masa tu dah gelap. Tengok jam kat tangan dah 7.40 masa tu.

Untuk makluman masa tu minggu ke-3 aku kerja company tu. Minggu pertama aku try jalan LDP. Minggu ke-2 aku try ikut Federal Highway pulak (masa tu mana ada Waze bebagai macam sekarang ni). Minggu tu yang aku try jalan ikut ELITE tu. Kononnya nak memilih laluan terbaik la untuk berulang alik kerja.

So lepas dari Tol Putrajaya tu aku menghala ke Cyberjaya dan lalu area tu dah start menempuh hutan kat kiri kanan (masa tahun 2008 dulu area tu masih hutan banat bukannya dah penuh rumah orang macam sekarang). Orang pun tak berapa lalu lagi jalan tu sebab rasanya highway MEX tak bukak lagi masa tu. So memang aku sorang je (sorang ke?) yang ada atas jalan tu masa tu, nak pulak masa tu tengah time Maghrib.

Part saspennya bila aku start lalu macam jambatan yang cross paya kat situ. Tengah sedap layan angin sejuk kat area tu tetiba aku rasa macam jaket aku (sesetengah orang suka pakai jaket motor terbalik tapi aku pakai betul-betul dan zip kat depan) macam kena cekak di tengah-tengah bahagian belakang dan siap kena rentap lagi. Kali pertama kena tu aku buat tak tau la sebab ingatkan angin yang tarik. Sebenarnya sampai tiga kali aku kena tapi entah kenapa aku tak rasa apa-apa lagi dan masih berfikiran positif lagi (positif la sangat) sambil dok fikir masa tu bukannya pukul 2-3 pagi apa nak takutnya.

Lepas jaket kena tarik tu (nasib baik tarik tu tak kuat kalau tak mau jatuh jugak masa tu) helmet aku pulak kena ketuk dari belakang. Pun 3 kali jugak. Tapi boleh pulak aku ingatkan kot burung punya kerja. Sesat nak balik sarang agaknya (ayat sedapkan hati). Aku try la kibas-kibas belakang helmet sambil bawak motor tu nak bagi dia lari tapi tak rasa apa2 pun.

Lepas tu yang ‘dia’ makin melarat. Aku rasa tengah-tengah lengan aku atas sikit daripada pergelangan tangan kiri kena genggam siap kena tarik arah belakang. Memang bergoyang la aku dengan motor-motor aku sekali dibuatnya, memang nyaris jatuh tergolek aku atas jalan tu tak pun silap2 melayang masuk dalam paya tu. Aku try pandang tangan aku masa tu nak menengok menatang apa yang dok pegang tangan aku masa tu. Memang berderau la darah aku masa tu (masa tu walaupun jalan tu tak ada lampu tapi kalau memandang memang masih nampak sebab cahaya matahari masih ada sikit2) sebab yang aku nampak.. tangan aku je tak nampak apa2 yang memegang. Korang bayangkanla apa yang korang akan rasa kalau tangan korang terasa ada orang pegang dan siap tarik lagi tapi korang tak nampak pun tangan atau apa pun yang tengah memegang tangan korang tu.

Masa tu barulah berderau darah aku dan datangla ingatan yang time Maghrib ni memang time ‘dia’. Tambah pulak aku masa tu masih di tengah-tengah kawasan paya tu memang tempat ‘dia’ la rasanya tu. Masa tu jangan kata nak toleh belakang nak tengok apa bendanya, nak jeling kiri kanan pun tak berani. Takut dia menyongoi menunjukkan diri memang mau rebah aku situ jugak silap-silap. Mulut jenuh la terkumat-kamit baca Ayat Kursi tapi sebab memang tengah seram-seram gelabah masa tu alamatnya memang tonggang langgang la bacaan. Motor pulak tak beri kerjasama sebab dah pulas habis minyak tapi meter dok kat 90 tu jugak.

Bila dekat nak sampai area satelit bumi Measat tu baru ‘dia’ lepaskan tangan aku. Aku buat kental je la bawak motor sampai rumah. Lepas mandi dan solat baru aku story kat bebudak rumah. Esoknya aku tobat tak lalu dah jalan tu. Kebetulan pulak masa nak lunch esoknya tu aku ternampak iklan bilik untuk disewa. Terus aku deal dengan brader owner rumah dan weekend tu jugak aku pindah Kota Damansara. Area yang aku ‘kena’ tu ada la sekali dua aku lalu balik beberapa tahun lepas tu tapi naik kereta dan time siang. Kalau malam memang aku tobat la nak tempuh jalan tu sebab payah bawak anak kecik – kecik karang tersampuk jadi panjang pulak ceritanya nanti.

Wassalam.

Perkongsian daripada Tajul.

What do you think?

Written by Maya

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Gangguan Di Rumah Sewa Part 1

Berkawan Dengan Bunian