in

Firasat Mimpi

“Huh! hah! huh..hah..hah..”, tercungap-cungap Timah berlari. Sekali-sekala dia cuba menoleh ke belakang. Lembaga itu masih mengejarnya. Dalam kegelapan malam , Timah cuba mengamati rupa lembaga itu sementara kakinya masih berlari selaju yang mungkin. Lembaga itu seperti lembaga seorang lelaki. Lama-kelamaan lembaga itu semakin dekat dan sudahpun berada betul-betul di belakang Timah yang sudah kehilangan banyak tenaga. Lembaga itu berjaya memegang tangan kiri Timah lalu menyergahnya.

“Gghhrrrrr”.

Hal itu membuatkan Timah terperanjat lalu terjelopok jatuh.

“Aduh!,” Timah menahan sakit sambil memegang dahinya yang terhentak di permukaan lantai. Timah jatuh dari katilnya. Timah bermimpi lagi. Bajunya habis lencun dengan peluh. Nafasnya turun naik dengan laju seolah baru lepas berlari.

Sudah seminggu Timah dihantui mimpi yang sama. Pada mulanya Timah hanya memikirkan itu hanya mainan tidur tetapi apabila ianya berulang lagi membuatkan Timah gusar. Mungkinkah ini sesuatu petanda yang tidak baik untuk dirinya.

Pagi itu, seperti biasa Timah akan bersarapan dahulu di hadapan TV untuk menonton siaran berita terkini sebelum pergi ke tempat kerja.

“..seorang remaja perempuan, Norsyafiqah Binti Aliudin dilaporkan hilang dan lokasi terakhir beliau dijumpai ialah di Blok E bangunan persekutuan. Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang remaja terbabit sila….,” Timah terus mematikan TV kerana sudah terlewat untuk ke pejabat.

‘Blok E? Itu kan blok pejabat aku,’ dalam perjalanan ke pejabat Timah sempat berfikir.


Timah membuka mata. Timah telahpun berada di tepi sebuah telaga. Dikelilingnya penuh dengan semak. Rumput-rumput liar menjalar di sana sini. Timah sendiri tidak pasti di mana dia berada.

Tiba-tiba seorang budak lelaki sudahpun berdiri di hadapannya. Timah kaget seketika melihat keadaan kanak-kanak itu. Seluruh tubuhnya berselut dan bawah matanya hitam. Kepalanya botak dan tidak berbaju. Kanak-kanak itu hanya memakai seluar pendek sahaja yang sudah pudar warnanya.

Timah memerhatikan sahaja kanak-kanak itu. Perlahan-lahan kanak-kanak itu mengangkat sebelah tangannya lalu dihalakan ke arah telaga yang dilihat oleh Timah tadi. Timah ingin menyoal tetapi suaranya seakan terperangkap di kerongkong. Sekelip mata kanak-kanak tadi hilang dari pandangan.

“Hah!,” Timah terjaga dari tidurnya dan terus terduduk di atas katilnya. Dia mengesat peluh di dahi.

‘Petanda apakah ini?,’bisik Timah mula berteka-teki di dalam hati.


“Weh! Kau percaya pasal mimpi tak?,” ketika di pejabat, waktu rehat Timah menyoal kawan baiknya Hena.

“Mimpi? Kenapa?.”

“Soalan dibalas dengan pertanyaan. Kau ni jawab jer lah.”

“erm..percaya kot..eh ..tak sangatlah.”

“Kau ni. Jawapan jenis apa tu? Aku bukannya apa. Aku asyik mimpi benda yang sama jer.”

“Macamana tu? Aku tak faham. Mohon pencerahan yer Cik lawyer.”

“Jangan nak panggil aku lawyerlah..”

“Tu doa tau manalah tau betul-betul kau jadi peguam. Tu kan cita-cita kau dari kecil,” Hena berseloroh. Walaupun agak tegas dalam tugas, Hena memang suka bergurau apabila bercakap.

“Dahlah aku nak cerita ni. Pasal mimpi aku tu.”

“Hah! cerita..cerita..,” Hena tidak sabar.

“Kau tau tak mula-mula aku mimpi ada sorang mamat ni..muka tak ‘clear’ sangat..kejar aku. Yang pelik aku takut sangat dalam mimpi tu..mimpi ni berulang-ulang tau…”

“..adalah orang nak minang kau tu,” Hena menyampuk.

“Jangan nak mengarutlah..Hena, ada lagi..pastu aku ada mimpi lagi..sorang budak ni dia tunjuk kat satu telaga. Macam ni,” kata Timah sambil menunjukkan aksi sekali.

“Yang last sekali aku mimpi malam tadi. Mamat tu rogol aku,” Timah menambah.

“Kau biar betul. Mimpi jer tu. Jangan fikirlah. Dari kau asyik bermimpi jer elok kau siapkan kerja yang melambak atas meja tu.”

“Yelah..yelah..kau ni tak boleh haraplah,” Timah sedikit kecewa dengan sikap Hena yang seperti memperlekehkan ceritanya.

Kalau diikutkan memang dia tidak mahu percaya pada mimpi tetapi kejadian-kejadian dalam mimpinya baru-baru ini seolah betul-betul terjadi.

Akhirnya, segala mimpi Timah tenggelam bersama kesibukan kerjanya di pejabat. Walaupun Timah baru beberapa bulan bertugas di situ, dia perlu menunjukkan sikap tanggungjawab pada tugas dengan tidak mengharapkan gaji semata-mata.


Petang itu kawasan Blok E tempat Hena bekerja riuh rendah dengan bunyi siren kereta bomba dan ambulans. Beberapa orang pasukan bomba dikerah menuju kebelakang bangunan blok E diiringi dengan beberapa orang pasukan ambulans yang membawa pengusung. Kemudian datang pula sebuah kereta polis.

Timah dan Hena yang hendak balik ke rumah masing-masing kerana waktu berkerja sudah habis, tertanya-tanya akan apa yang sedang berlaku.

“Bang, kenapa ni? Ada apa ramai-ramai kat sini?,”Hena yang ingin tahu bertanya kepada seorang pengawal yang sedang berkawal di situ.

“Orang jumpa mayat kat belakang. Dalam perigi,” beritahu pengawal tersebut.

“Mayat? Dalam perigi?,” Hena dan Timah berpandangan.Hanya mereka saja yang faham tentang maksud pandangan itu.


Malam itu Timah tidak senang duduk setelah menonton siaran berita di TV. Hena pula hanya mampu diam di sebelahnya.

“Satu mayat yang sudah kembung dipercayai seorang perempuan dijumpai oleh seorang pengawal keselamatan terapung di dalam sebuah perigi lama di belakang blok E bangunan persekutuan. Mangsa dipercayai dirogol dan dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam perigi tersebut.”

Perkongsian Daripada Unknown.

What do you think?

Written by ERRA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

UKM

Van Jenazah