in

Bila Bunga Tertutup, Bila Bunga Terbuka

Hi, namaku Ryza tapi aku lebih selesa dipanggil Ray. Disini aku ingin berkongsi kisah yang agak peribadi bagi diriku yang berlaku ketika aku berumur 6 tahun dan masih menghantuiku sehingga kini. Aku sekarang merupakan seorang jururawat pelatih di salah sebuah hospital di Sarawak.

Kisah ini bermula di halaman rumahku di kampung di Miri ketika aku berumur 6 tahun. Aku dan sepupuku Ujang sedang bermain di halaman rumah kemudian kami didatangi oleh Sarah, adik kepada Ujang dan dua orang lagi teman sepermainan kami iaitu Leong dan Kim. Kami seronok bermain sehinggakan ridak sedar hari sudahpun senja. Kemudian si Leong mencadangkan kami bermain ‘Bila bunga tertutup, bila bunga terbuka’. Peraturan permainan ini mudah. Para pemain haruslah berpegangan tangan dalam bulatan dan berpusing sambil menyanyi “Bila bunga tertutup, bila bunga terbuka, datang seorang puteri menari dan menyanyi”. Sesudah habis menyanyi para pemain haruslah menjadi kaku.

Siapa yang bergerak, dia harus dihukum. Jadi kami pun berpegangan tangan sambil mengeliling dalam bulatan  dan bernyanyi “bila bunga tertutup, bila bunga terbuka, datang seorang puteri, menari dan menyanyi” dan kami menjadi kaku. Dalam keadaan kaku seperti itu pun aku masih boleh mengira berapa orang kami semuanya. “1” aku mengira diriku “2,3,4,5,6..ehh 6”. Nenek yang berada di beranda terus memanggil aku, Sarah dan Ujang untuk naik  ke rumah. Manakala Leong dan Kim pun pulang. Sedang dalam perjalanan naik aku bertanya ke Ujang “Jang.. Siapa yang seorang lagi tu. Tak pernah pula aku tengok dia sebelum ni” sambil jariku menunjuk ke arah seorang budak yang masih berdiri tercegat di halaman itu. Ujang pun memandangku dengan pelik dan berkata “kau ni dah sot kali, mana ada orang kat situ”. Perbualan kami tadi didengari nenek.

Sampai sahaja aku di beranda, nenek terus menarik lenganku dan berkata “ikut nenek sekarang” lalu dia membawaku ke biliknya. “jawab nenek sekarang, kau ada nampak orang lain kah waktu main tadi?” takut dengan soalan nenek yang pelik itu, aku menggeleng. “nenek tanya sekali lagi, kau ada nampak ke tidak, kalau ya.. Siapa yang kau nampak ha?” nenek menenengking lalu aku menjawab dengan rasa takut “tttt tadi ada budak perempuan berdiri kat luar masa kami main” lalu aku menangis. Nenek kemudian memanghil ayah dan ibu dan mereka berbincang di hujung bilik. Selepas mereka selesai, nenek terus mengarahkan aku duduk. Nenek kemudian mengambil kian hitam lalu menutup mataku. Gelap pemandangan namun hidungku terhidu bau asap kemenyan dan selepas itu, aku tidak tahu apa yang terjadi. Sedar-sedar sahaja aku sudah berada di katilku. Hari berikutnya aku bermain seperti biasa dengan kawan-kawan namun aku tidak pernah melihat budak itu selepas dari hari itu. 2 bulan selepas itu, nenek meninggal dunia dan kami pun berpindah dari rumah itu ke bandar.

7 tahun kemudian, aku berumur 13 tahun dan meningkat remaja. Jadi pada suatu hari, ayah bercadang untuk melawat rumah lama kami di kampung. Setelah kami tiba di kampung, kelihatan halaman rumah sudah pun dipenuhi dengan lalang dan rumah itu masih utuh berdiri walaupun kelihatan usang. Yalah sudah 7 tahun tidak berpenghuni memanglah kawasan itu kelihatan agak tidak terjaga. Jadi ayah dan kakak membersihkan kawasan halaman, manakala aku dan ibu membersihkan kawasan dalam rumah. Nasiblah rumah itu agak kecil dan kosong, senang bagi aku dan ibu untuk menyapu dan mengelap beberapa jemari tingkap. Kami berdua selesai lalu kami berdua pun melabuhkan punggung di kerusi di beranda. Sedang aku sibuk memerhatikan ayah dan kakak, aku terlihat kelibat seorang budak di halaman itu. Ya.. Itulah budak perempuan yang sama 7 tahun lalu yang berdiri tercegat di tempat yang sama. Aku tersenyum dan menegur “tak besar-besar lagi kau rupanya”. Ibu yang mendengar aku terus menoleh dan bertanya “siapa yang tak besar-besar lagi?”.

Aku terus menundingkan jariku ke arah budak perempuan itu dan berkata “budak tu bu, yang pernah join Ray main sekali dulu”. Riak muka ibu terus berubah dari kepenatan menjadi pucat seakan-akan takut. Lalu ibu segera memanggil ayah dan memberikan isyarat supaya membawa kami pulang. Jadi ayah dan kakak cepat-cepat menghabiskan kerja mereka dan kami terus pulang. Dalam perjalanan pulang, ayah dan ibu seperti tidak senang duduk. Lalu ayah membuka mulut dan bertanya “siapa yang kau nampak tadi tu Ray?” lalu aku menjawab dengan selamba “tak ada lah ayah, cuma budak perempuan yang pernah join Ray main dulu lepas tu tak pernah pula Ray nampak dia selepas hari Ray ikut nenek masuk bilik.”. Kakak terus menoleh dengan riak mukanya yang kehairanan “kau jangan main-main, memang kita berempat je kat situ”. Aku pun buat endah tak endah saja.

Malam itu, aku bermimpi berada di halaman rumah di kampung dan budak perempuan itu ada di situ. Budak itu berkata “Jom main” sambil tertawa kecil. Aku pun bersetuju juga. Jadi kami berdua berpegangan tangan dan mula menyanyi “Bila bunga tertutup, bila bunga terbuka, datang seorang puteri, menari dan menyanyi” sesudah habis lirik lagu itu dinyanyikan tiba-tiba dia hilang dari pegangan tanganku. Aku menoleh kiri kanan mencari. “Saya disini hehehe” aku berlari ke arah suara itu dan “saya disini lah hehehe” tapi kali ini suara itu kedengaran datang dari arah yang lain. Aku berkata “awak kat mana nie? Keluar lah.. Hari dah gelap” dengan rasa yang teramat takut tiba – tiba “heheeheheheehehhehe’ suara hilaian mula kedengaran semakin lama semakin nyaring dan membingitkan telinga.

Aku menekup kedua-dua telingaku dan menjerit dengan sekuat hati. Mendengar aku menjerit, ayah dan ibu lantas ke kamarku. Ayah memetik suis dan menghidupkan lampu, ibu terus ke katilku dan mengejutkan aku. Aku terjaga dalam keadaan yang takut. Baju tidurku habis basah disebabkan aku berpeluh dan tubuhku bergetar ketakutan. Ibu cuba menenangkan aku dan syukurlah aku dapat juga bertenang dan aku menyambung tidur.

Malam keesokannya, selepas makan malam ayah membawa aku keluar. Aku hanya menurut sahaja. Ayah membawa aku ke sebuah mawasan perkampungan dan disitu terdapat sebuah rumah. Setelah sampai di rumah tersebut, aku dan ayah disambut oleh seorang lelaki. “Masuklah Man”. Aku dan ayahku segera masuk dan kami semua duduk. “ha Man… Apa hajat anak kemari?” soal lelaki tua itu kepada ayahku “macam ni tok, ini Ray anak saya… Malam semalam dia bermimpi sampai menjerit dia tok dan sekarang dia dah boleh nampak benda yang saya sendiri pun tak dapat tengok tok… Boleh tok tolong tengokkan apa sebenarnya yang berlaku untuk saya tok?”. Lelaki itu menyuruh aku duduk lebih dekat kepadanya. Aku pun berganjak.

Lelaki itu menyurh aku menutup mata dan dia menyentuh mataku selama beberapa minit.” Man… Ibu kau pernah menjampi supaya mata hijab dia tutup tapi dia takkan terikat selepas dia menjadi gadis. Jadi sebab tu dia boleh nampak benda yang kau tak boleh nampak. Mata hijab dia dah terbuka semula Man”. Selepas mendengar itu aku tidak percaya dan bertanya “apa maksud mata hijab saya dah terbuka? Kenapa nenek jampi saya?”. Ayah menghembuskan nafas yang berat dan berkata “Ray, arwah atuk dan nenek tu dulu pawang kat kampung kita. Entah macam mana kau pun mewarisi kebolehan arwah atuk dan nenek untuk melihat benda-benda ghaib. Masa kau umur 6 tahun, nenek bagi jampi supaya kau tak nampak benda macam tu supaya kau tak takut. Tapi apa yang ayah tak tahu, yang jampi itu tak kekal sebab tu ayah risau macam mana pula kau boleh tengok benda yang bukan-bukan. Dan tok Wan disini merupakan kawan kepada arwah nenek dan dia pun pawang juga. ”

Aku pun terdiam kerana masih menghadam segala yang dikatakan ayah tadi.” Jadi macam mana tok? Boleh tutup kah? ” tanya ayahku. Lelaki tua itu menggelengkan kepala.” Dah tak boleh man, dia dah cukup matang sudah. Dia perlu membiasakan diri dengan kelebihan dia. Kesian dia Man…biarlah dia rasa kebolehan yang diwarisi dari arwah atuk dan nenek dia” ayah terus menggelengkan kepala “tak tok? Kalau kuasa itu datang dari arwah ayah saya, saya lagi rela kalau kebolehan dia lenyap tok. Orang tua yang satu tu dah cukup buat kami dan mak kami menderita tok. Dahlah nak… Jom balik” ayah membentak lelaki tua itu dan aku mengikit langkah ayah keluar . Perjalanan pulang dari tempat itu memang sunyi. Aku dan ayah tak bertegur. Aku membiarkan ayah bertenang.

Selepas mandi pada malam itu, telefonku berdering dan aku menatap skrin telefon dan melihat nombor yang aku tidak kenal “unknown number… Siapa pula ni?” aku tahu aku tak sepatutnya menjawab tapi ya.. Aku terjawab “hello” kemudian “bila bunga tertutup, bila bunga terbuka, datang seorang puteri menari dan me” belum sempat lagu itu habis dinyanyikan, aku terus memutuskan panggilan. Kemudian “tok, tok, tok” … “Nak.. Ibu nak masuk” suara ibu kedengaran dari luar pintu dan aku berkata “masuk saja bu… Pintu tak berkunci” ibu masuk membawa sebuah kotak besi yang kecil dan duduk di katilku dan membuka kotak tersebut. Di dalam kotak tersebut, aku melihat 2 helai kain hitam, 2 lembar benang merah dan dua gumpal rambut. “kotak ini, peninggalan arwah atuk dan nenek. Arwah atuk dan nenek tu pawang. Jadi kalau nak jadi pawang, kau kena mempersembahkan sehelai kain hitam, selembar benang merah dan segumpal rambut kau. Ibu tau Ray ada mata hijab  macam arwah atuk dan nenek dan Ray sebenarnya boleh jadi pawang. Tapi nenek dan ayah dan ibu tak bersetuju kerana takut yang Ray akan terikut jejak arwah atuk Ray. ”

Aku pun mengerutkan dahi dan bertanya” kenapa dengan arwah atuk bu? ” ibu kembali bercerita” dulu kampung kita tu sering terkena gangguan. Setiap malam, ada sahaja terdengar benda mengilai. Jadi atuk kau mengorbankan seorang budak untuk menambahkan kuasa yang kononnya boleh membantu untuk menghalau benda tu pergi. Tapi dalam diam tanpa sedar, atuk kau menggunakan kuasa korban itu untuk kepentingan diri sendiri. Habis anak dara di kampung itu dibuatnya sakit supaya berubat dengan dia. Nenek dan seorang lagi kawannya melihat yang atuk semakin hari semakin berubah dan menjadi tamak. Jadi kawan nenek, tok Wan pun mencuba untuk mematahkan segala usaha atuk dan berjaya… Arwah atuk marah dan meninggal dalam keadaan yang tidak berapa baik. Mayat tak diterima bumi. Nenek kau lepas tu berhenti menjadi pawang dan terpaksa menerima cacian dari orang kampung tapi lama kelamaan keadaan kembali reda dan orang di sana pun kembali berbaik dengan nenek sebab mereka sedar, nenek tak sekeji atuk”. Aku terlopong, terkejut dan terdiam selepas mendengar penjelasan ibu. Ibu kembali membuka mulutnya untuk bercerita ” dan budak yang kau nampak tu sebenarnya budak yang telah dijadikan korban arwah atuk. Dia anak yatim… Kalau diikutkan umur dia sebaya dengan si Ujang tu”.

Aku yang tadinya sudah sedia ada terkejut bertambah terkejut dan agak sukar bagiku untuk menghadam penjelasan ibu. Terdetik rasa kasihan di hatiku terhadap arwah nenek, budak perempuan itu dan juga ayah. Dan di sudut lain aku merasa kesal akan perbuatan datukku. “Jadi sekarang, kau rasa kau mau tak jadi pawang?” tanya ibuku. Aku menggeleng. “tak bu… Kalau Ray jadi pawang sekali pun ianya hanya membuatkan ayah semakin terluka dan Ray pun sebenarnya memang tak mau pun jadi pawang” jelasku kepada ibu. Ibu pun tersenyum dan mengangguk dan memelukku. Ayah, ibu dan kakak menyokong bulat-bulat keputusanku untuk tidak menjadi pawang. Namun mata hijabku sekarang memang akan sentiasa terbuka. Aku akui yang pada mulanya aku agak takut dan agak susah untuk membiasakan diri dengan mata hijab yang terbuka.

9 April 2020

Aku berada di wad pakar sakit puan. Jariku sibuk menulis laporan di meja depan. Aku hanya berseorangan kerana si Briana pergi tandas, si Nurul pergi on the clock monitoring vital. Jadi hanya aku yang berada di meja tiba-tiba  aku terdengar “bila bunga tertutup, bila bunga terbuka, datang seorang puteri, menari dan menyanyi” dalam hatiku, aku bermonolog “ahh… Dia lagi… Tak habis-habis kau nak kenakan aku” ya itu budak yang sama yang menghantuiku di dalam mimpi dan sekarang rohnya akan mengikutiku dan mengusikku ketika aku sedang bersendirian seperti sekarang

Perkongsian daripada Ray.

What do you think?

Written by Maya

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Rahsia Di Sebalik Dinding Hitam (Koleksi Lengkap)

Gangguan Di Dalam Lif