in

916

Nur tergaru-garu seluruh badan. Badannya merenyam. Merah merekah. Kering.

Sudah tiga minggu Nur menderita penyakit misteri. Seluruh badannya menggelupas teruk. Bila terdengar azan, mata Nur menjadi pedih merah menyala dan serpih-serpih garam halus keluar dari celahan matanya. Dari hospital kerajaan ke hospital swasta, semua sudah dicuba. Tapi doktor pakar yang paling hebat sekalipun tak dapat mengesan penyakit yang dihadapi Nur.
“Yasmin, aku dah tak tahan. Sakit.. Doktor dah bagi macam-macam ubat tapi sikit pun tak baik masalah aku ni. Aku tak tahu nak buat apa lagi Min.” Nur mengadu kepada Yasmin melalui telefon .

“Aku rasa kau ni bukan sakit biasa. Kau cuba la pergi jumpa ustaz.” Yasmin memberi cadangan . Masuk kali ni dah lapan kali si Nur mengadu pada dia tentang sakit yang dihadapi. Dan lapan kali juga lah Nur menolak cadangannya untuk mencuba rawatan alternatif.

“Kau tahu kan yang aku tak percaya rawatan alternatif ni… Aku percaya pada hospital aje.. Nanti esok aku nak cuba pergi kat pakar kulit yang kat bandar tu pulak.. Katanya semua penyakit kulit boleh selesai kat situ.” Nur berdalih. Yasmin menarik nafas panjang.

“Dah tu kau jugak yang cakap semua tempat kau dah cuba, tapi tak berkesan. Lepastu kau nak mengadu kat aku, aku cadangkan pergi jumpa ustaz, kau tak nak pulak. Kau nak apa sebenarnya? Kalau hospital tak boleh sembuhkan kau, apa salahnya cuba cara alternatif?” Nur terdiam. Rasa was-wasnya pada rawatan alternatif amat susah nak dipudarkan.

“Aku tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Esok aku pergi bawak kau jumpa sorang ustaz ni. Kalau esok kau tak nak jugak, kau jangan mengadu apa-apa dekat aku. Kau telefon nanti aku taknak jawab. Degil betul kau ni lah!” Yasmin mengugut Nur dan mematikan telefon.

Bukannya Yasmin tak sayangkan Nur. Dah 12 tahun mereka berkawan. Tapi Nur memang terkenal dengan sifat degilnya. Dah susah baru nak mintak tolong orang. Jadi satu cara untuk memaksa Nur akur akan arahannya ialah dengan cara begini. Mungkin kelihatan kasar, tapi semua kerana sayang dan tak sampai hati melihat Nur menderita.

Keesokan malam, atas desakan dan ugutan Yasmin, Nur menunggu di luar pintu pagar rumahnya.

“Mana lah Yasmin ni.. Aku rasa tak sedap hati lah pulak.. Taknak pergi karang… Yasmin merajuk pulak.. Hmmm..” bisik Nur dalam hati.

10 minit kemudian, Yasmin pun datang menaiki kereta Myvi nya. Sepanjang perjalanan ke tempat rawatan , Nur tak henti-henti mengeluh risau. Yasmin hanya mendiamkan diri saja. Dia tahu kalau dia melayan keluhan Nur, Nur akan meminta untuk pulang.

Beberapa detik kemudian, mereka tiba di sebuah rumah teres di kawasan terpencil. Pandangan Nur menyelinap melalui pintu yang sedikit renggang. Rumahnya biasa-biasa saja. Ruang tamunya agak luas dan lapang. Mungkin ruang di situ telah disediakan khas untuk merawat pesakit.

“Assalamualaikum! Assalamualaikum Ustaz Hamdi!” Yasmin memberi salam.

“Waalaikumsalam…” pintu dikuak. Kelihatan seorang lelaki berjubah dan bersongkok menyambut kehadiran mereka berdua. Itu pasti Ustaz Hamdi.

“Ya saya… Jemput lah masuk.” Mata Yasmin sudah mula bersinar-sinar tetapi Nur masih tetap gelisah. Lebih gelisah dari yang sebelumnya.

Yasmin memberitahu Ustaz Hamdi tentang penyakit yang dihadapi Nur. Sambil-sambil itu mata Nur melilau di sekeliling rumah Ustaz Hamdi.

Tiada apa-apa yang mencurigakan. Tiada juga bau aneh. Hanya bau minyak atar yang dipakai Ustaz Hamdi saja yang menusuk hidungnya. Tetapi itu tidak bermakna Nur akan percaya dengan kemahiran Ustaz Hamdi.

“Jadinya Ustaz, saya nak mintak tolong Ustaz tengokkan Nur ni, kot-kot ada benda yang menganggu dia. Dah lama dia menderita kesian saya tengok dia..” Yasmin menepuk peha Nur. Nur terkejut dan terus menumpukan perhatian kepada Ustaz Hamdi.

Ustaz Hamdi mengangguk dan segera menyuruh Nur duduk di tengah-tengah ruang tamu. Diletakkan sehelai tuala putih di atas kepala Nur, dan di tekap ubun-ubunnya sambil mulutnya terkumat kamit.

“Kamu.. Ada benda yang ikut kamu ni.” suara Ustaz Hamdi memecah kesunyian. Nur memandang Ustaz Hamdi, tak berkelip.

“Ada sesuatu yang mendampingi kamu.. Melalui barang kamu.” Nur mula rimas. Baginya Ustaz Hamdi mengarut. Mana mungkin dia ada pendamping. Ini cuma sakit kulit biasa saja.

Lantas tuala di kepalanya di tepis, jatuh ke lantai. Ustaz Hamdi memerhati perlakuan Nur.

“Ustaz, saya mintak diri dulu lah ya. Esok saya ada ‘appointment’ dengan pakar kulit. Mintak maaf lah banyak-banyak. Yasmin, aku nak balik.” Nur segera bangun dan keluar dari rumah. Muka Yasmin merah padam. Tergamak Nur buat macam tu depan ustaz?

“Ustaz, saya mintak maaf pasal kawan saya tu. Dia memang, degil sikit. Tak percaya benda-benda ghaib ni. Nanti kalau ada apa-apa saya bagitahu ustaz ya.” Ustaz tersenyum mengangguk. Yasmin meminta diri untuk pulang dan terus menghantar Nur balik kerumahnya.

Dalam perjalanan menghantar Nur ke rumah, Nur berkali-kali meminta maaf kepada Yasmin.

“Min.. Maafkan aku Min.. Aku memang tak boleh nak percaya kat Ustaz tu. Aku tak boleh nak terima cakap dia. Kau hantar je lah aku balik biar aku urus penyakit aku sorang-sorang.”

“Tak apa lah. Benda dah jadi. Aku ni cuba nak tolong je. Kau taknak, tak boleh nak paksa lah…”

Beberapa hari kemudian…

Malam itu, Nur yang baru pulang dari melakukan rawatan di pakar kulit sedang berehat di sofa ruang tamunya.

Sedang Nur duduk menonton televisyen, tiba-tiba satu kelibat berjubah hitam bergerak pantas di dapur. Nur pantas menoleh. Hilang.

“Aku penat sangat agaknya.. Biarlah.” Nur bersangka baik. Dia meneruskan menonton rancangan kegemarannya.

Selang beberapa minit kemudian…

“PRANGGG!”

Kedengaran bunyi pinggan jatuh ke lantai. Nur terkejut separuh nyawa. Siapa pula yang menjatuhkan pinggan itu? Serta merta bulu roma Nur meremang. Nur memberanikan diri ke dapur untuk melihat pinggan yang jatuh berderai. Tetapi sebaik menjejakkan kaki di dapur, Nur terkejut, dapurnya bersih, tiada kesan pinggan jatuh berterabur seperti bunyi yang didengari tadi.

“Pinggan jiran sebelah jatuh kot… Tak apa lah bagus lah tak ada apa yang pecah.. Tak payah aku susah-susah nak kemas.” bisik hati Nur.

Waktu menunjukkan sudah hampir tengah malam, Nur baru teringat yang dia masih belum menunaikan solat Isyak. Nur segera mengambil wudhu’ dan solat di dalam biliknya.

Sedang Nur solat, dia dapat rasakan ada sesuatu yang duduk di atas katilnya, memerhatikan Nur yang sedang solat. Nur meneruskan solat tanpa menghiraukan ‘sesuatu’ itu. Rakaat demi rakaat, Nur dapat rasakan ‘sesuatu’ itu semakin dekat dengan Nur.

“Assalamualaikumwarahmatullah…” Nur pandang ke kanan. Kosong.

“Assalamualaikum…” Nur terkejut.

Di sebelah kirinya terdapat satu lembaga bermata bulat tersembul, lidah terjelir dan berkudis di seluruh badan sedang memerhatikannya. Darah menitis-nitis dari lidahnya jatuh terkena telekung Nur.

“Aaaaaaallahhhuakbar!!” Nur menutup mukanya dengan kedua tapak tangan. Kakinya lemah longlai menyebabkan dia tak dapat melarikan diri. Nur cuba membaca ayat Kursi, tetapi dalam keadaan sebegitu, bacaan Nur bersimpang siur. Dia menggigil ketakutan dan cuba membaca segala doa yang terlintas di fikirannya.

Setelah hampir lima minit, Nur memberanikan diri memandang ke arah lembaga itu kembali.

Kosong.

Nur, yang masih lagi memakai telekung, pantas berlari mencapai kunci motorsikalnya dan terus memecut ke rumah Yasmin.

“Min! Bukak pintu Min! Yasmin! ” Nur menepuk-nepuk keras pintu rumah Yasmin. Mujur ketika itu Yasmin masih belum tidur. Yasmin segera membuka pintu. Nur yang masih menggigil ketakutan memeluk Yasmin sekuatnya.

“Ya Allah.. Kau kenapa ni Nur? Kenapa sampai macam ni?” Yasmin membawa Nur masuk ke rumah. Nur pun menceritakan perkara yang berlaku tadi kepada Yasmin.

“Tulah kau, kalau kau tak lari dari rumah Ustaz haritu, masalah dan selesai dah. Malam ni kau tidur rumah aku je. Esok kita panggil Ustaz Hamdi datang rumah kau.” Bebel Yasmin.

Keesokan hari, atas bantuan Yasmin, Ustaz Hamdi pun datang ke rumah Nur dan membawa beg rawatannya.

“Ustaz, saya nak mintak maaf banyak-banyak kat Ustaz sebab saya biadab dengan Ustaz haritu.. saya harap Ustaz boleh tolong saya.” Nur menunduk segan.

“Allah.. tak apa lah.. Saya dah lama maafkan. Saya akan cuba tolong kamu. Jangan risau.”

Ustaz memerhati pergelangan tangan Nur. Setiap pergelangan tangannya terdapat dua utas gelang emas tebal yang berkilat.

“Saya nak tanya.. Kamu selalu ke pakai barang-barang kemas tu?” Ustaz memandang Nur .

“Ya.. Saya pakai barang-barang kemas saya setiap masa. Dari celik mata membawa ke tidur. Kenapa, Ustaz?” Nur mula cuak.

“Kalau tak keberatan, boleh kamu buka gelang kamu? Masa kamu datang rumah saya hari tu, saya nak bagitahu perkara ni tapi kamu dah keluar rumah dulu.”

“Bagitahu apa , Ustaz? Kenapa dengan gelang saya?” Nur membuka keempat-empat gelang emas yang dipakai olehnya dan diserahkan pada Ustaz.

Ustaz Hamdi tidak menjawab pertanyaan Nur lalu meneruskan rawatannya. Dikeluarkan air botol dari dalam beg rawatannya lalu dituang ke dalam sebuah mangkuk. Dicelup barang kemas Nur ke dalam air tersebut seketika lalu digenggam sambil dibacakan ayat-ayat tertentu dan diletakkan di atas kain putih.

Alangkah terkejutnya Nur dan Yasmin apabila gelang emas yang tadinya berkilat dan baru, tiba-tiba kelihatan usang dan pudar! Ustaz kemudiannya memercik sedikit air didalam mangkuk itu ke barang kemas tadi lalu diangkat dan dipegang hujung gelang-gelang itu.
Darah merah pekat dan berbau busuk menitik-nitik dari hujung gelang, jatuh membasahi kain putih tadi. Nur dan Yasmin spontan menekup hidung mereka untuk elak dari terhidu bau yang tajam itu.

“Boleh saya tanya kamu, dari mana kamu dapat barang-barang kemas ni?” soal Ustaz Hamdi kepada Nur. Nur terdiam. Cuba mengimbas kembali.

“Bulan lepas, ada seorang makcik tua datang rumah saya.. Dia jual barang kemas. Harganya pun terlalu murah jika nak dibandingkan dengan harga pasaran. Itu yang saya beli sampai empat utas sekali dan pakai sampai sekarang.” Ustaz menggeleng mendengar penjelasan Nur.

“Sebenarnya ada sesuatu yang menumpang dalam barang-barang kemas kamu.. ” Nur dan Yasmin berpandangan sesama sendiri seakan tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut Ustaz Hamdi.

“Saya nasihatkan, lepas ni kalau boleh pakai barang-barang kemas waktu nak keluar saja… waktu tidur kena tanggalkan dan simpan dalam kotak. Emas ni sebenarnya mampu menarik makhluk halus berdamping dengan kita.. Tak boleh dipakai sembarangan, lebih-lebih lagi jika emas tu berasal dari sumber yang tak diketahui.” Jelas Ustaz Hamdi sebelum membersihkan darah dari emas itu dan meminta diri untuk pulang ke rumah.

Semenjak dari itu Penyakit misteri yang dihadapi Nur sudah pulih keseluruhannya. Tiada lagi gangguan-gangguan aneh di rumahnya. Nur juga sudah tidak memakai emas sepenuh waktu lagi. Dia cukup serik dengan kejadian buruk yang telah berlaku hanya gara-gara empat utas gelang emas yang dijual dengan harga murah.

Tapi… Nur masih terfikir …

Siapa makcik tua bongkok berkain batik yang datang jual barang kemas kat rumah dia hari itu?

Perkongsian Daripada Unknown.

What do you think?

Written by ERRA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Pejabat Ku Berhantu

Piano Antik