in

15

Setiap kita pastinya pernah mengalami peristiwa-peristiwa yang pelik. Aku juga tidak terkecuali. Terima kasih Kupi Kupi Go Seram kerana dengan adanya platform seperti ini dapatlah kita berkongsi pengalaman-pengalaman yg menyeramkan sekaligus dapat berkongsi rasa “takut” yg menghantui dek peristiwa-peristiwa seram yg pernah berlaku pada diri.

Peristiwa ini berlaku pada zaman aku masih kanak-kanak. Umur masa tu dalam lingkungan 11-12 tahun gitu. Masa tu cuti hujung tahun. Jadi kebiasaannya semua sepupu aku balik ke kampung dan kami akan bermalam di rumah nenek untuk menyambut tahun baharu.

Malam tu macam biasa la kami bersepupu berpakat dengan budak-budak kampung bermain  sembunyi-sembunyi (di Sabah ni kami panggil main tapuk-tapuk). Kami yang bermain masa tu ada 16 orang termasuk yang tukang cari. Kawasan rumah nenek di kampung tu kira agak luas juga sebab banyak kereta yang diparkir masa tu.

Ngam la banyak tempat untuk bersembunyi. Nasib baik la rumah nenek aku ni dekat tepi jalan ja. Lampu jalan tu betul-betul terletak di simpang masuk ke rumah nenek. Jadi suasana malam tu tidak la terlalu gelap tapi tidak juga terang. Keadaan samar-samar gitu la. Memang sempurna sangat untuk game tapuk-tapuk ni.

Semua orang dewasa masa tu sibuk dengan persediaan makanan dan kebanyakkan mereka berada di dalam rumah.

Masa bermain tu  sangat syok sampai tidak sedar yang jam sudah pun menunjukkan jam 9 malam. Nenek aku berulang kali ingatkan kami untuk berhenti bermain sebab katanya tidak baik bermain tapuk-tapuk malam-malam macam ni. Tapi kami berkeras juga mau main game ni untuk kali terakhir sebelum kami semua bersurai balik ke rumah.

Kali ini, kami mengambil keputusan untuk bersembunyi secara berpasangan dan bukannnya sorang-sorang macam sebelum ni. Dengan alasan supaya game ni selesai cepat. (Ingat, time tu keadaan hanya samar-samar dan hanya ada 16 orang kanak-kanak yang bermain termasuklah si tukang cari. Jadi yang akan bersembunyi hanya ada 15 orang.) Semua memilih pasangan secara rambang ja. Budak-budak kampung pun bukan semuanya aku kenal. Kenal-kenal gitu ja.

Aku perasan ada seorang budak lelaki ni diam berdiri tanpa pasangan. Aku dengan selamba mempelawa dia untuk jadi pasangan aku. Oleh kerana dia nampak lebih muda dari aku, aku cuba pimpin tangan dia untuk bersembunyi di belakang sebuah kereta lama Land Rover lama milik mendiang datuk aku. Aku perasan budak ni diam saja. Tapi aku tidak ambil peduli sebab memang gitu la caranya main. Mana boleh buat bising.

Aku masa tu masih mengenggam  tangan budak tu sebab aku risau juga kalau anak orang hilang gara-gara terlampau bermain. Aku perasan badan aku terasa sejuk-sejuk. Tapi aku tidak layan sangat. Tidak lama selepas tu, suara kawan-kawan yang lain mulai kedengaran sebab sudah kena jumpa. Aku tersenyum bangga sebab aku dan pasangan aku belum lagi berjaya ditemukan. Sampailah masa bila tukang cari tu mulai mengira jumlah orang yang dia sudah temukan dengan suara yang lantang. *(Kalau style kami ni, orang yang paling last sekali kena jumpa merupakan pemenang.

Dan untuk memastikan bahawa anda adalah pemenang, anda kena tunggu hinggalah tukang cari tu akan kira dengan lantang bilangan orang yang dia sudah berjaya temukan. Bila anda pasti hanya anda yang belum ditemukan, barulah anda keluar sekaligus memenangi game itu sebagai juara tapuk-tapuk).*

Kiraan bermula.

1!

2!

3!

4!

5!

6!

7!

8!

9!

10!

11!

12!

13!

14!

14!? Pelik. Aku mulai tidak sedap hati. Rasa sejuk mulai menyelubungi aku. Aku cuba yakinkan diri aku masa tu yang tukang cari tu silap kira.  Aku mendengar yang tukang cari tu mengira sekali lagi.

1!

2!

3!

4!

Aku takut bercampur geram.

5!

6!

7!

8!

9!

Berbekalkan cahaya lampu jalan yang samar-samar itu,  aku menutup mata dan perlahan-lahan cuba utk melepaskan genggaman aku daripada tangan budak itu dengan harapan dapat melarikan diri. Sebab aku sendiri tidak pasti siapa atau apa yang berada di sebelah belakang ku.

10!

11!

Tiba-tiba..

Aku dapat merasakan genggaman tangan budak tu semakin kuat. Gila!

12!

Sumpah aku menggigil teruk masa tu.

13!

*14!!*

*Memang 14!*

Ini kali la getus hati ku. Aku beranikan diri menoleh ke belakang bahagian kiri ku. Tangannya masih ku rasa mengenggam erat tanganku. Alangkah terkejutnya aku bila melihat wajah budak itu! Pucat. Kedua-dua bola matanya tidak kelihatan. Hanya gelap. Masa tu aku perasan bibirnya tersenyum dan menyeringai sambil membisikkan,  

*”15!”*

Aku langsung tidak sedarkan diri masa tu. Aku pengsan.

Keesokkan paginya, bapa aku bagitau yang mereka menemui aku dalam keadaan pengsan. Pengsan di bawah pokok mangga berhampiran dengan tandas! Tapi yang aku pelik, aku bersembunyi di belakang kereta Land Rover lama mendiang datuk aku! Seingat aku, aku memang pengsan di sana selepas bersemuka dengan makhluk budak itu!  

Bagaimana aku boleh berada dekat dengan pokok mangga pula??  Sampai skrg aku tidak tahu kenapa dalam ramai-ramai budak yang main malam tu aku saja yang kena. Hal ini aku diamkan saja daripada ibu bapa aku hingga la pada hari ini.

Sejak kejadian itu, setiap kali aku terpandang kereta Land Rover lama dan pokok mangga itu, aku pasti teringat kejadian aneh itu. Apatah lagi bila melihat nombor 15! Tiap kali melihat ataupun mendengar nombor 15, suara bisikan makhluk itu pasti akan terngiang-ngiang halus di halwa telinga ku…

Perkongsian daripada Andy Joy.

What do you think?

Written by Andy Joy

Comments

Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

0

Comments

0 comments

Wanita Berjubah Labuh

Siapa Yang Azan Tadi?